IPOH: Penduduk beberapa kawasan sekitar Ipoh gempar dengan bunyi dentuman kuat disusuli gegaran pada pukul 11.06 pagi ini.
Pengguna media sosial mendakwa gegaran dirasai di kawasan Medan Istana, Tasek, Stadium Perak, Meru, Falim dan Manjoi malah ada yang mendakwa gegaran turut dirasai oleh pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di Terowong Menora.
Setakat ini tidak diketahui punca bunyi dentuman kuat dan gegaran tersebut.
Orang ramai yang ditemui mengakui terdengar bunyi dentuman kuat disusuli gegaran dalam tempoh hanya beberapa saat yang mengejutkan mereka.
Seorang wanita pekerja swasta, M. Diviya, 30, berkata, dia dan rakan sekerjanya berlari keluar dari bangunan pejabat di Medan Istana, di sini sebaik merasai gegaran kuat.
Katanya, ketika kejadian dia sedang bekerja di bilik dan tiba-tiba terasa bangunan seperti bergegar dan pintu kaca pejabatnya turut bergegar dengan kuat.
“Saya terdengar bunyi seakan dentuman dari bahagian atas bangunan, kami terus berlari keluar dari pejabat kerana risaukan keselamatan diri.
“Saya sudah hubungi Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk memaklumkan kejadian ini dan mereka mengesahkan ada menerima aduan mengenai gegaran tersebut,” katanya.
Noor Zaiti Nabilah Ahmad, 32, berkata, dia turut berlari keluar dari bangunan pejabat guaman tempat dia bekerja di Medan Istana, di sini sebaik sahaja merasai gegaran kuat.
“Sepanjang enam tahun bekerja di sini, ini kali pertama saya rasai pengalaman begini. Kami rasa amat terkejut,” katanya.
Sementara itu, penganalisis keselamatan pertahanan, Zaki Salleh berkata, dentuman dan gegaran kuat itu boleh jadi daripada ledakan atau dentuman sonik daripada pesawat terbang pada kelajuan supersonik.
Katanya, namun pengesahan daripada pihak berkuasa termasuk pihak berkuasa penerbangan atau tentera boleh mengesahkan punca sebenar bunyi tersebut.
Menurutnya, ledakan sonik adalah sejenis bunyi yang kuat seperti letupan dan bunyi ini dihasilkan oleh gelombang kejutan yang dicipta oleh sebarang objek yang bergerak melalui udara yang mencapai kelajuan lebih pantas dari kelajuan bunyi.
“Dentam sonik merupakan bunyi yang berkaitan dengan gelombang kejutan yang terhasil oleh sebuah objek yang bergerak melalui udara lebih cepat dari kelajuan bunyi.
“Dentuman sonik ini menghasilkan tenaga bunyi yang tersangat tinggi kerana pesawat terbang pada kelajuan supersonik.
“Bunyi dentuman sonik ini tidak menyebabkan apa-apa kepada pesawat, malah tiada berlaku letupan pun di udara,” katanya kepada Utusan Malaysia. – UTUSAN