IPOH: Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) menafikan bunyi dentuman kuat serta gegaran yang berlaku di sekitar Ipoh dan kawasan berdekatan semalam, berpunca daripada Hujan Meteor Orionids.
Ketua Pengarah MYSA, Azlikamil Napiah berkata, kejadian yang didakwa berlaku sekitar pukul 11 pagi itu dipercayai tidak membabitkan fenomena angkasa melainkan lokasi sisa meteor itu jatuh berjaya ditemukan di permukaan bumi.
Malah katanya, sebarang pergerakan meteor bersaiz besar yang boleh memberi impak kepada bumi boleh dikesan sebelum ia memasuki atmosfera.
“Fenomena hujan meteor memang kerap berlaku tetapi kebiasaannya sisa komet tersebut hanya masuk melintasi atmosfera bumi tanpa menyebabkan sebarang gegaran dan bunyi.
“Malah, sisa komet itu juga akan hangus terbakar dan terurai di atmosfera sekali gus mengelak berlakunya sebarang hentaman,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan warga maya yang mendakwa kejadian yang mencemaskan penduduk itu berpunca daripada Hujan Meteor Orionids.
Mengulas lanjut beliau berkata, jika ada pun sisa tersebut sampai ke permukaan bumi, ia adalah sisa-sisa kecil yang jarang menyebabkan berlaku gegaran.
“Kalau pun ia sampai ke (permukaan) bumi, sepatutnya ada lokasi sisa terbabit ditemui serta terdapat kesan kebakaran sekitar lokasi penemuan,” katanya.
Berdasarkan kenyataan di lawan web rasmi MYSA, Hujan Meteor Orionids merujuk kepada titik kemunculan hujan meteor di langit iaitu di kawasan buruj Orion (Belantik) tetapi kemunculannya masih boleh berlaku dari pelbagai arah.
Fenomena itu berlaku setiap tahun apabila bumi yang beredar mengelilingi matahari merentasi laluan orbit komet 1P/Halley atau dikenali sebagai Komet Halley
Fenomena Hujan Mateor Orionids akan berlaku setiap tahun antara 2 Oktober hingga 7 November.
Di Malaysia, kemuncak fenomena ini dijangka akan berlaku pada lewat malam 21 Oktober hingga subuh 22 Oktober 2024.
Semasa kemuncak, sekitar 10 hingga 20 meteor setiap jam dijangka akan kelihatan muncul di langit. – UTUSAN