Denggi: Lima kematian di Pahang tahun ini

Denggi: Lima kematian di Pahang tahun ini

RAZALI Kassim (kiri) dan Rusdi Abdul Rahman (kanan) melepaskan nyamuk Aedes berWolbachia di Taman Pasdec Makmur Indera Mahkota 2, Kuantan, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pahang mencatatkan peningkatan kematian akibat kes denggi pada tahun ini dengan lima kematian berbanding hanya satu maut pada tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, peningkatan jumlah kematian sebanyak 400 peratus itu sekali gus menjadikan Pahang sebagai negeri kedua tertinggi bagi tahun ini.

Katanya, punca peningkatan kes terbabit disebabkan pembiakan Aedes di banyak lokasi sama ada di dalam rumah, luar rumah, taman permainan, kawasan kebun sayur dan sebagainya.

“Kebanyakannya adalah disebabkan oleh kecuaian individu tertentu yang tidak menjaga kebersihan. Apabila berlakunya kes sebegini, kesannya bukan sahaja ke atas individu malah juga kepada masyarakat setempat. Itu yang kita mahu elakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelepasan Nyamuk Aedes BerWolbachia di Taman Pasdec Makmur Indera Mahkota 2, di sini semalam yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Datuk Dr. Rusdi Abdul Rahman.

Sementara itu, Rusdi pula memaklumkan, kesemua mangsa terlibat berusia antara 40 hingga 50 tahun dengan masing-masing satu dari Bentong, Bera, Kuantan, Raub dan Rompin.

Katanya, hasil siasatan mendapati, punca lain yang menyebabkan berlakunya kematian adalah kelewatan pesakit mendapatkan rawatan.

“Jadi kita minta mereka yang demam terutama yang demam yang kuat 38 darjah selsius ke atas, tolong datang ke klinik kerajaan ataupun swasta untuk mendapatkan rawatan dan juga penyiasatan.

“Sebab kita ada ujian yang kita boleh buat untuk kesan sama ada demam denggi ataupun tidak. Lepas pada itu, apabila dia (pesakit) sudah datang ke klinik kesihatan dan sudah dapatkan rawatan tetapi masih tidak baik, datang semula ke klinik kesihatan yang sama, jangan pergi klinik lain sebab sejarah (rawatan) sudah jadi lain.

“Datang ke klinik yang sama dan kita akan siasat semula dan akan bagi peringatan. Kalau misalnya masih tidak baik, kita akan rujuk ke hospital untuk dimasukkan ke dalam wad untuk pemerhatian,” katanya.

Dalam pada itu, projek pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia bagi negeri Pahang telah dimulakan sejak tahun 2022 melibatkan tiga lokaliti iaitu PPRS Pinggiran Putra, Taman Impianku dan untuk tahun ini di Pasdec Makmur Indera Mahkota 2.

Ketiga-tiga lokaliti terbabit dipilih berdasarkan beban kejadian kes demam denggi yang tinggi di lokaliti di mana sebanyak kira-kira 420,000 ekor nyamuk Aedes berWolbachia dilepaskan secara berperingkat dalam tempoh 14 minggu bagi lokaliti terpilih tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya