Defisit kewangan negara menurun

Defisit kewangan negara menurun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Defisit kewa­ngan negara menurun kepada 5.0 peratus pada 2023 berban­ding 5.5 peratus pada 2022, ba­gaimanapun hutang negara men­catatkan peningkatan sebanyak 8.6 peratus bagi tempoh sama.

Berdasarkan Laporan Ke­tua Audit Negara (LKAN) yang dibentangkan dalam Dewan Rakyat semalam, baki defisit Kumpulan Wang Pembangunan sejumlah RM10.217 bilion me­nunjukkan penurunan sejumlah RM1.734 bilion (14.5 peratus) berbanding RM11.951 bilion pada 2022.

Laporan itu juga menyebut Kerajaan Persekutuan menca­tatkan prestasi kewangan lebih baik pada tahun lalu berbanding 2022.

Ia turut menyaksikan peningkatan lebihan hasil berjumlah RM2.028 bilion dan penurunan defisit sebanyak RM8.595 bilion.

Bagaimanapun, kerajaan perlu memberi perhatian terhadap trend pe­ningkatan hutang negara seba­nyak RM1.173 trilion dicatatkan tahun lalu, meningkat sebanyak RM92.918 bilion atau 8.6 peratus berbanding tahun 2022 yang berjumlah RM1.080 trilion.

Menurut laporan itu lagi, hutang Persekutuan terdiri daripada Pinjaman Dalam Negeri berjumlah RM1.143 trilion atau 97.5 peratus daripada jumlah keseluruhan Hutang Persekutuan manakala Hutang Luar Negeri berjumlah RM29.851 bilion atau 2.5 peratus.

“Pinjaman Dalam Negeri mencatatkan peningkatan sejumlah RM92.580 bilion (8.8 peratus), manakala Hutang Lu­ar Negeri meningkat sejumlah RM0.338 bilion (1.1 peratus).

“Hutang Persekutuan adalah hutang yang dibuat secara langsung oleh Kerajaan Persekutuan dan tidak termasuk hutang agensi atau syarikat kerajaan,” kata laporan itu.

Laporan Ketua Audit Negara itu juga turut mendedahkan, komitmen jaminan kerajaan Persekutuan terhadap 13 syarikat telah meningkat 1.5 peratus tahun-ke-tahun kepada RM227.4 bilion pada tahun 2023 berbanding RM224.116 bilion pada tahun 2022.

Dalam pada itu, dividen yang diterima oleh Kerajaan Persekutuan menunjukkan penurunan ketara sejumlah RM9.756 bilion (17.5 peratus) berbanding sejumlah RM55.815 bilion pada tahun sebelumnya.

Berhubung pengurusan liabili­ti Persekutuan, laporan tersebut menunjukkan trend peningkatan dengan nisbah liabiliti Persekutuan kepada KDNK meningkat kepada 81.8 peratus berbanding 78.0 peratus pada tahun 2022.

Menurut laporan itu, nisbah hutang Persekutuan kepada KDNK pada tahun 2023 pada kedudukan 64.3 peratus juga meningkat berbanding 60.2 pe­ratus pada tahun 2022, manakala nisbah statutori hutang kepada KDNK pula adalah 62.1 peratus pada tahun 2023 berbanding 57.5 peratus pada tahun 2022.

“Jabatan Audit Negara (JAN) mengambil maklum inisiatif yang telah dilaksanakan kerajaan bagi memastikan pengurusan hutang Persekutuan yang berhemat, terutama menerusi pembaharuan fiskal dengan kelulusan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 [Akta 850] di Parlimen pada 11 Oktober 2023.

“Kerajaan Persekutuan juga telah mengambil langkah rasionalisasi dan konsolidasi defisit secara berperingkat dengan unjuran defisit fiskal kepada 4.3 peratus kepada KDNK pada 2024,” katanya.

Bagi menambah baik prestasi kewangan kerajaan, Ketua Audit Negara mengesyorkan beberapa perkara untuk diambil perhatian.

“Kerajaan disarankan untuk meneruskan usaha meningkatkan hasil pendapatan melalui pelbagai sumber, me­ningkatkan tadbir urus dalam pengurusan perbelanjaan awam supaya kedudukan kewangan berada dalam keadaan lebih kukuh.

“Kerajaan juga perlu memastikan pengurusan hutang awam yang berhemat bagi mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman baharu,” menurut laporan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya