Deepavali: Rakyat diajak eratkan perpaduan

Deepavali: Rakyat diajak eratkan perpaduan

AARON Ago Dagang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Deepavali atau Pesta Cahaya menjadi lambang harapan dan kesedaran rohani yang menghapuskan kegelapan dalam kehidupan serta menjadi waktu sempurna untuk merenung nilai-nilai perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, istilah Deepavali adalah gabungan dua patah kata ‘Deepam’ yang bermaksud lampu atau cahaya manakala ‘vali’ pula membawa makna arah atau jalan.

Menurut beliau, Deepavali melambangkan cahaya yang mengatasi kegelapan dan kebaikan yang mengalahkan kejahatan.

“Menyalakan pelita-pelita melambangkan harapan dan kesedaran rohani yang dapat menghapuskan kegelapan dalam kehidupan.

“Deepavali atau Pesta Cahaya adalah waktu yang sempurna untuk merenung tentang nilai-nilai perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat kita.

“Deepavali bukan sahaja dirayakan oleh penganut Hindu tetapi ia juga merupakan satu kesempatan untuk semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama untuk bersama-sama meraikan kepelbagaian budaya yang kita miliki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Aaron, dalam konteks negara Malaysia yang kaya dengan warisan dan tradisi berbeza, adalah penting bagi semua pihak untuk menghormati dan menghargai setiap perayaan yang disambut oleh semua lapisan masyarakat.

“Dalam semangat Deepavali, kita memperkukuh ikatan silaturahim antara satu sama lain, tidak mengira agama, bangsa, atau budaya. Inilah masanya kita merayakan kepelbagaian yang menjadi kekuatan negara kita, dan mengeratkan perpaduan yang telah lama terjalin.

“Keharmonian dan persefahaman inilah asas yang membina negara yang aman dan makmur. Moga semangat Deepavali menerangi jalan menuju masa depan yang lebih
cerah untuk semua.

“Saya dan seluruh tenaga kerja Kementerian Perpaduan Negara ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Hindu,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya