PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberikan kemudahan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) khusus kepada pelajar serta pengajar institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) beragama Hindu bagi meraikan sambutan Deepavali pada 31 Oktober ini.
KPT dalam kenyataan memaklumkan, sesi PdP itu boleh dilaksanakan secara dalam talian atau hibrid untuk semua universiti awam, politeknik, kolej komuniti bermula Isnin ini hingga 30 Oktober dan pada 1 November (Jumaat).
“Pelaksanaan ini adalah bertujuan memudahkan urusan pelajar dan pengajar beragama Hindu untuk meraikan sambutan Deepavali bersama keluarga masing masing.
“Di kesempatan ini, kementerian juga ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Deepavali kepada semua pelajar, pengajar, warga KPT dan seluruh rakyat Malaysia yang beragama Hindu,” katanya hari ini. – UTUSAN