PETALING JAYA: Plus Malaysia Berhad (PLUS) menasihatkan pemandu kenderaan untuk menggunakan aplikasi MyPLUS-TTA bagi merujuk dan merancang perjalanan masing-masing sempena cuti Deepavali.
Timbalan Ketua Setiausaha (Sektor Dasar & Pembangunan) Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Zahrul Hakim Abdullah berkata, aplikasi tersebut adalah usaha kerajaan dan PLUS untuk menyediakan perjalanan selesa kepada semua pengguna lebuh raya.
Menurut beliau, menerusi aplikasi MyPLUS-TTA yang dilengkapi dengan jadual perjalanan digital boleh membantu pengguna merancang perjalanan dengan lebih cekap dan mengelakkan kesesakan di laluan kritikal.
“Jadual perjalanan digital ini dapat membantu mengagihkan trafik supaya kesesakan tidak tertumpu di satu-satu lokasi dalam satu-satu masa yang sama.
“Selain itu, PLUS juga akan mengaktifkan lorong Smart Lane di 21 lokasi kritikal sepanjang musim perayaan yang akan datang,” katanya dalam satu majlis di Menara Korporat, Persada PLUS hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), inisiatif Smart Lane PLUS berjaya mengurangkan kesesakan dan mendapat sokongan lebih daripada 70 peratus pengguna yang merasakan ia membantu mempercepatkan perjalanan mereka.
“Antara lokasi-lokasi yang terlibat dalam pengaktifan ‘smart lane’ adalah kawasan yang telah dipilih yang selalu berlaku kemalangan.
“Bagaimanapun, para pengguna jalan raya dinasihatkan sentiasa peka terhadap tanda ‘smart lane’ yang diaktifkan serta mengamalkan sikap bertimbang rasa sesama pengguna,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Superintenden Khairul Azhar Ismail berkata, 3,000 petugas akan disediakan menjelang Deepavali ini.
“Kes-kes lemalangan yang melibatkan kenderaan berat akan dialihkan segera, dan laluan keluar mandatori akan disediakan bagi mengurangkan kesesakan jalan raya,” katanya. – UTUSAN