PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia (KUSKOP) berharap sambutan Deepavali tahun ini membawa cahaya harapan baru bagi kesejahteraan, kemakmuran, dan masa depan yang lebih baik kepada komuniti India di negara ini.
Timbalannya, Ramanan Ramakrishnan berkata, Deepavali tahun ini perlu diraikan dengan penuh kasih sayang bersama keluarga serta memperkukuh hubungan sesama kaum, yang menjadi teras kepada keharmonian negara
Kata beliau, komuniti India memainkan peranan yang besar dalam pembangunan negara dan menyeru mereka untuk bersatu bagi memperkukuh kuasa politik demi masa depan sosio-ekonomi yang lebih baik.
“Luangkanlah masa bersama keluarga yang tercinta dan eratkan lagi semangat ‘kasih sayang’ antara satu sama lain di hari Deepavali ini.
“Setiap pengorbanan mereka memang tidak dapat dinafikan dalam pembentukan kerajaan dan kestabilan politik negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, usaha Kerajaan Madani di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah merancang pelbagai program untuk semua kaum.
Katanya, komuniti India perlu bersatu merebut peluang ini agar terus maju dan berjaya dalam arus pembangunan negara.
“Saya akan melakukan yang terbaik untuk anda semua. Saya memahami, mendalami, dan dapat membaca perasaan hati masyarakat India di negara ini.
“Banyak lagi perancangan sedang dirangka untuk komuniti India, dan saya akan sentiasa berbincang bersama Perdana Menteri untuk memastikan perancangan ini dilaksanakan dengan tersusun,” katanya. – UTUSAN