DBKL ambil tindakan pemilik premis tidak guna bahasa kebangsaan 

DBKL ambil tindakan pemilik premis tidak guna bahasa kebangsaan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebarang pemasangan papan tanda premis di ibu negara perlu diberikan keutamaan bahasa kebangsaan dari segi saiz dan kedudukan berbanding bahasa lain.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya komited memastikan bahawa semua papan tanda iklan premis mematuhi penggunaan bahasa kebangsaan serta visual yang diluluskan.

Katanya, tindakan tersebut selaras dengan peruntukan UUK 3(1) dan 3(2) Undang-Undang Kecil Iklan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1982.

“Peraturan ini menyatakan bahawa semua papan tanda iklan premis hendaklah dalam bahasa kebangsaan dan bahasa lain boleh digunakan dengan syarat bahasa kebangsaan diberi keutamaan dari segi saiz dan kedudukan.

“Kelulusan papan tanda iklan adalah sebahagian daripada kelulusan lesen komposit yang meliputi lesen premis perniagaan,” katanya. 

Jelas kenyataan itu, setiap permohonan perlu diproses melalui sistem E-Lesen DBKL dan wajib memenuhi dokumentasi serta syarat yang ditetapkan oleh DBKL.

“Antara syaratnya ialah penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dengan pengesahan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), keutamaan diberikan kepada saiz huruf bahasa kebangsaan yang lebih besar berbanding bahasa lain, seperti yang ditetapkan di bawah UUK 3(2).

“DBKL ingin menjelaskan bahawa, jika jenama syarikat telah didaftarkan di bawah akta-akta berkaitan seperti Akta Pendaftaran Perniagaan 1956, Akta Syarikat 1965 atau Akta Pertubuhan 1966, maka ia tidak perlu diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan,” katanya.

Menurut DBKL, sebanyak 20 notis kesalahan dan 10 notis penguatkuasaan telah dikeluarkan terhadap pemilik premis yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan pada papan tanda iklan setakat 16 Oktober lalu.

Tambahnya,  satu notis kesalahan di bawah UUK 3(2) telah dikeluarkan kerana penggunaan bahasa asing yang lebih besar daripada bahasa kebangsaan.

“Sebanyak 211 Notis Kesalahan di bawah UUK 5(1) terhadap pemilik premis yang mempamerkan iklan tanpa lesen yang sah.

“Lokasi yang telah dikenakan tindakan termasuk Jalan Manjalara Idaman 3, Jalan Kampung Atap, Jalan Imbi, Jalan Prima 2, Jalan Kuchai, Jalan Sri Petaling dan beberapa kawasan lain,” katanya.

Tegas DBKL, operasi penguatkuasaan secara konsisyen dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan kepatuhan sepenuhnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya