Dakwaan pelajar hampir diculik cuma mimpi - Utusan Malaysia

Dakwaan pelajar hampir diculik cuma mimpi

SALBIAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: Seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun yang mendakwa hampir menjadi mangsa culik dalam kejadian di Gerik kelmarin disahkan tidak benar sebaliknya cuma mimpi pelajar itu sahaja.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed yang mengesahkan perkara itu berkata, pelajar tersebut bercerita kepada dua rakan sekolahnya dia bermimpi hampir diculik ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

Menurutnya, belum pun habis bercerita, dua rakannya terus memberitahu guru mereka dan laporan polis dibuat kononnya berlaku kejadian cubaan culik.

“Saya difahamkan dakwaan pelajar itu yang hampir diculik tidak benar.  Difahamkan remaja berkenaan sudah membuat laporan semula kepada pihak polis bagi memperbetulkan laporan dia hampir diculik.

“Kejadian cubaan culik  tidak berlaku. Yang betulnya ialah dia hanya bermimpi hampir diculik dan menceritakan mimpinya  itu dua rakan sekolahnya.

“Belum pun habis dia bercerita, rakannya itu memberitahu kepada guru mereka dan laporan polis dibuat,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak Peringkat Daerah Kerian Tahun 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan Panglima Bukit Gantang di sini hari ini.

Salbiah berkata, walaupun kejadian itu cuma mimpi pelajar itu, ibu bapa perlu sentiasa mengambil berat dan mengawasi pergerakan anak mereka.

“Walaupun kejadian hampir diculik itu tidak benar tetapi tidak bermakna perkara-perkara seperti ini dianggap remeh.

“Soal keselamatan dan kebajikan anak-anak perlu dijaga, perlu sentiasa ambil tahu di mana anak berada pada setiap waktu,” katanya.

Seorang pelajar perempuan 14 tahun mendakwa hampir menjadi mangsa culik dalam kejadian di Kampung Padang, di Gerik kelmarin.

Kejadian dikatakan berlaku pada pukul 3.20 petang ketika pelajar itu dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumah dengan berjalan kaki.

Pelajar itu mendakwa sebuah van berwarna putih menggunakan nombor pendaftaran kenderaan negara jiran menghimpitnya dan beg sekolah ditarik dan dia diseret dua lelaki memakai pelitup muka sehingga dia terjatuh.

Pelajar itu dikatakan diselamatkan abang kandungnya yang tiba di lokasi kejadian apabila dia sempat menendang seorang daripada suspek. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN