Dakwaan guna Seksyen 41A perangkap Najib tak berasas

Dakwaan guna Seksyen 41A perangkap Najib tak berasas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pendak­waan sempat memberikan ‘pu­­­kulan terakhir’ sebelum Mah­kamah Tinggi di sini menetapkan tarikh keputusan di akhir pendakwaan kes penyelewengan dana RM2.28 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib dalam hujahan ringkasnya berkata, dakwaan pihak pembelaan bahawa Seksyen 41A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 digubal bagi memerangkap bekas Presiden UMNO itu adalah satu perkara yang tidak berasas.

“Seksyen tersebut dibentangkan pada 14 April 2018 oleh bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Razali Ibrahim. Pada tarikh tersebut, Datuk Seri Najib masih lagi Perdana Menteri dan Datuk Seri Razali adalah salah seorang ahli Kabinetnya.

“(Jadi), apabila (peguam bela utama) Tan Sri Muhammad Shafee menghujahkan bahawa Seksyen 41A ASPRM itu diluluskan dengan tujuan untuk mendakwa Datuk Seri Najib, ia adalah tidak benar dan tidak berasas,” tegas pendakwa raya itu.

Pindaan ASPRM yang memasukkan Seksyen 41A itu telah diluluskan pada April 2018 sebelum diberi perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 27 April tahun sama dan mula berkuat kuasa pada 1 Oktober 2018.

Parti Barisan Nasional yang diterajui Najib hilang tampuk pemerintahan negara pada 10 Mei 2018.

Terdahulu, selain menghujahkan bahawa Seksyen 41A tersebut diluluskan untuk pe­rangkap Najib, Muhammad Sha­fee turut menyatakan bahawa anak guamnya bukanlah seorang penjenayah sebaliknya hanya cuai.

“Dengan merujuk kepada semua hujahan saya, tindakan Najib adalah konsisten dengan tindakan seseorang yang tidak bersalah berbanding sebaliknya. Sekiranya terdapat beberapa tindakan yang Yang Arif rasakan tindakan (Najib) adalah cuai namun ia tidak bermakna ia merupakan tindakan jenayah,” kata peguam itu.

Selain itu, Muhammad Shafee mengulangi hujahnya bahawa pendakwaan tidak berjaya membuktikan dakwaan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low adalah ‘imej bayangan’ Najib.

“Sekiranya benar Jho Low adalah imej bayangan Najib, sudah tentu Najib juga mempunyai banyak akaun di luar negara.

“Mengapa mereka mengambil wang dari sini dan membawanya ke seluruh dunia, semata-mata untuk membawanya kembali ke Ambank Jalan Raja Chulan?,” kata beliau.

Muhammad Shafee juga me­mohon agar Mahkamah memberikan penilaian maksimum bukan sahaja terhadap keterangan saksi-saksi pendakwaan tetapi juga terhadap saksi itu sendiri.

Ujarnya, keterangan saksi-saksi utama pendakwaan tidak konsisten dan tidak menyokong antara satu sama lain.

“Oleh yang demikian, saya menggesa supaya Yang Arif tidak memanggil Datuk Seri Najib untuk membela diri. Yang Arif mesti membebaskan dan melepaskan beliau daripada semua pertuduhan,” ujar Muhammad Shafee sebelum mengakhiri hujahnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya