Dadah bentuk ‘gula-gula’ untuk tarik remaja, kanak-kanak

Dadah bentuk ‘gula-gula’ untuk tarik remaja, kanak-kanak

KHAW KOK CHIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penghasilan dadah dalam bentuk gula-gula terutama ‘lolipop’ sebelum dijual menerusi pelbagai laman web beli-belah dalam talian menjadi cabaran baharu yang memerlukan perhatian serius semua pihak termasuk Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

Pengarah JSJN, Datuk Seri Khaw Kok Chin, pihaknya bersama agensi berkaitan sedang memantau dan mengkaji trend ini dengan lebih teliti bagi mengambil langkah-langkah yang sesuai mengatasinya.

Beliau berkata, tiada sebarang penggunaan dadah gula-gula berbentuk ‘lolipop’ dalam kalangan penagih di negara ini sebaliknya bahan terlarang itu dipromosi dalam media sosial dan platform e-dagang seperti yang tular baru-baru ini.

Kata beliau, pemantauan dijalankan terhadap satu akaun TikTok disyaki menjual ‘lolipop dadah’ yang dipercayai dibeli dari negara jiran.

“Semakan mendapati, subjek atau penjual berkenaan menawarkan pembelian minimum tiga ketul setiap pesanan dengan harga bagi satu ‘lolipop’ sekitar RM70.

“Setakat ini, JSJN masih tidak terkesan dadah jenis ‘lolipop’ di Malaysia selain tidak menemukan penggunaanya dalam mana-mana operasi dilaksanakan di lapangan,” katanya di sini semalam.

Mengulas lebih lanjut, beliau berkata, sindiket dadah mula menggunakan pelbagai laman web beli-belah dalam talian bagi membolehkan mereka menjual bahan terlarang ini dengan lebih mudah kerana tanpa perlu bersemuka dengan pembeli.

Kata beliau, penjualan melalui platform e-dagang memudahkan akses kepada produk itu selain mereka menawarkan dadah yang mempunyai rasa dan penampilan menarik sekali gus menjadikannya tarikan terutama dalam kalangan kanak-kanak serta remaja.

“Dadah ‘lolipop’ atau dadah yang dihasilkan dalam bentuk gula-gula ini adalah salah satu trend baharu dalam modus ope­randi sindiket dadah.

“Kaedah ini antara salah satu pendekatan inovatif pengedar dadah untuk menarik perhatian pengguna terutama golongan remaja. Mereka (sindiket) menjadikan dadah kelihatan lebih menarik dan tidak menonjol,” katanya.

Dalam pada itu, Kok Chin berkata, kerjasama antara ibu bapa, pihak berkuasa dan masyarakat adalah penting untuk melindungi anak-anak daripada risiko penggunaan dadah.

“JSJN telah bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk membuat pemantauan ke atas media sosial.

“Tindakan pantas seperti ini diteruskan dari semasa ke semasa bagi risikan dan pencegahan dalam membanteras aktiviti pengedaran bahan yang mengandungi dadah,” jelasnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya