JOHOR BAHRU: Polis berjaya mendapatkan semula sebahagian wang tebusan bagi membebaskan seorang ahli perniagaan yang diculik pada 13 Oktober lalu, kira-kira RM7.2 juta.
Ahli perniagaan berusia 59 tahun itu diculik kira-kira pukul 5 pagi dan dibebaskan kumpulan penjenayah kira-kira pukul 12 tengah hari selepas memperoleh wang tebusan berjumlah RM20 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, jumlah wang yang diperoleh itu melibatkan bayaran dalam bentuk wang tunai dan mata wang kripto.
“Ia melibatkan wang tunai RM1.95 juta dan mata wang Singapura, SG$1 juta (RM3.3 juta) dan selebihnya dalam bentuk mata wang kripto (RM1.75 juta).
“Hasil operasi yang dijalankan, pihak polis juga merampas sepucuk pistol jenis Pietro Beretta, 250 butir peluru hidup dan sepasang gari,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar.
Mengulas lanjut, Mohd. Shuhaily berkata, hingga kini seramai 14 individu ditahan dalam beberapa siri serbuan antara 22 Oktober lalu hingga semalam.
Pihaknya telah mengenal pasti peranan setiap individu dalam kes penculikan tersebut, antaranya dalam merancang dan melakukan penculikan, melupus barang kes serta pengurusan wang tebusan.
Walau bagaimanapun, pihak polis masih menyiasat motif dan dalang kes penculikan ahli perniagaan itu yang merupakan seorang pemaju hartanah.
“Tentang seorang ahli keluarga mangsa yang dilaporkan turut ditahan, ia masih dalam siasatan dan kita tidak boleh maklumkan identiti kerana mungkin akan mengganggu siasatan. Pada masa ini masih terlalu awal untuk kita kongsikan maklumat tersebut, tetapi saya boleh sebut dia adalah wanita,’’ katanya sambil memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penculikan 1961. – UTUSAN