JOHOR BAHRU: Kementerian Pengangkutan tidak akan mengkaji semula pelaksanaan cukai jalan secara digital yang dilaksanakan sejak tahun lalu walaupun terdapat rungutan daripada segelintir pihak.
Sebaliknya, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menasihatkan pemandu kenderaan persendirian yang memerlukan cukai jalan secara fizikal untuk mencetak dokumen tersebut termasuk untuk urusan berkunjung ke negara jiran.
“Semua perkara sudah digital sekarang, tetapi jika ada keperluan mempunyai cukai jalan fizikal termasuk untuk keluar negara, pengguna boleh ‘print out’, tiada masalah.
“Tidak akan kaji semula (cukai jalan digital), kita perlu progresif, semua perkara ‘digitalize’ sekarang,” katanya selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Logistik Pelabuhan-Pelabuhan ASEAN 2024 di Hotel DoubleTree By Hilton, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah Pelabuhan Johor (LPJ), Rosnan Fathlal; Pengurus Besar LPJ, Datuk Monaliza Suhaimi dan Pengarah Urusan Transport Events Management Sdn. Bhd., Dr. Rory James Doyle.
Sebelum ini tular di media sosial pihak berkuasa Thailand meminta rakyat Malaysia yang memandu kenderaan persendirian memasuki negara itu, mencetak cukai jalan fizikal bagi memudahkan pergerakan mereka.
Ditanya rancangan kerajaan Thailand membina jambatan darat di Segenting Kra, beliau berpendapat projek itu tidak akan menjejaskan ekonomi negara, khususnya operasi pelabuhan di negara ini.
“Itu adalah rancangan Thailand, kita fokus dengan pelabuhan kita dan tingkatkan kecekapan. Masing-masing ada hak untuk bangunkan pelabuhan masing-masing, semua bersaing bina pelabuhan dan infrastruktur. Kita tak perlu bimbang kerana kita ada kelebihan semula jadi daripada segi kedudukan geografi dan perkara itu tidak boleh berubah. Kita berada di Selat Melaka dan Laut China Selatan, ini merupakan antara laluan perairan paling sibuk di dunia,” katanya.
Justeru, Anthony meminta pengusaha pelabuhan di negara ini berdaya saing dengan merangka strategi bersesuaian supaya mesra kepada pelabur.
“Pelabuhan di negara ini bukan sahaja fokus kepada perdagangan semata-mata, malah turut dilengkapi dengan sektor perindustrian kukuh bagi tujuan import eksport. Jadi, ia masih berupaya menarik kehadiran kapal berlabuh di sini,” katanya.
Mengenai persidangan itu, beliau memberitahu, ia bagi memperkenalkan teknologi terkini yang boleh diaplikasi pengusaha pelabuhan di rantau ini. – UTUSAN