Cuaca buruk: Hasil tangkapan sungai kurang, harga meningkat

Cuaca buruk: Hasil tangkapan sungai kurang, harga meningkat

SALLEH Mohd. Rosdi menunjukkan bubu yang sering digunakannya untuk menangkap ikan dan udang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Hasil ikan air tawar yang berkurangan sejak dua minggu lalu akibat cuaca tidak menentu menyebabkan ramai peraih ikan di daerah ini berdepan kekurangan bekalan, sekali gus menyebabkan harganya naik sehingga 25 peratus.

Seorang nelayan air tawar, Aziz Ismail, 50, berkata, keba­nyakan peraih tidak dapat berniaga susulan kekurangan hasil tangkapan ikan dan udang galah sejak beberapa hari lalu.

“Antara faktor menyebabkan kurangnya hasil tangkapan ikan dan hasil sungai adalah cuaca yang tidak menentu, selain angin kuat di pesisiran sungai.

“Ketika ini, nelayan hanya mampu memperoleh hasil tangkapan antara 10 hingga 20 kilogram (kg) sehari berbanding mencecah 45 kg sebelum ini. Diharapkan keadaan akan kembali normal dengan hasil tangkapan pulih semula serta terus meningkat,” katanya kepada Utusan Malaysia di lokasi pendaratan ikan di Kampung Seberang Batu Badak, dekat sini semalam.

Susulan bekalan terhad, harga hasil sungai naik, termasuk ikan baung daripada RM25 mencecah RM35 sekilogram.

“Ikan lais pula kini dijual antara RM30 hingga RM35 seki­logram berbanding RM20 hingga RM25 sekilogram sebelum ini. Walau bagaimanapun, udang galah gred C masih kekal RM35 sekilogram,” katanya.

Seorang nelayan, Salleh Mohd. Rosdi, 53, berkata, kebanyakan nelayan air tawar turun pada awal pagi dan pulang bergantung keadaan cuaca serta hasil tangkapan.

“Selain ikan, tangkapan hasil sungai lain seperti udang juga sukar diperoleh ketika ini menyebabkan harganya meningkat. Pelanggan juga mengeluh terpaksa bayar lebih berbanding sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Darat Segamat, Mansur Ibrahim, 70, berkata, walaupun ikan kurang, kenaikan harga tidak terlalu tinggi, malah ada yang masih kekal.

“Kita mohon orang ramai memahami situasi yang dihadapi oleh para nelayan sewaktu musim peralihan monsun ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya