Cuaca boleh sebabkan sukan air Kuala Kangsar ditangguh - Utusan Malaysia

Cuaca boleh sebabkan sukan air Kuala Kangsar ditangguh

MOHAMMAD Nizar Jamaluddin (dua dari kanan) dalam sidang akhbar berkenaan status terkini empangan-empangan utama di Perak, di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Ketidaktentuan cuaca yang berisiko mempengaruhi paras air Sungai Perak dilihat boleh menjadi penyebab penganjuran Pesta Sukan Air Kuala Kangsar 2024 pada 26 dan 27 Oktober ini ditangguhkan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, perkara itu bakal ditentukan oleh jawatankuasa penganjur yang akan mendapat syor daripada agensi-agensi berkaitan.

“Keputusan penangguhan itu mesti ada nasihat daripada pihak yang menganggotai jawatankuasa penganjur. Mungkin dalam jawatankuasa itu ada agensi yang membentangkan maklumat terkini tentang ramalan cuaca pada tarikh tersebut, termasuk sebarang penangguhan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di sini hari ini semasa diajukan soalan mengenai tular dakwaan penganjuran pesta sukan air itu ditangguhkan.

Setakat pukul 1 petang ini tiada lagi kenyataan rasmi berhubung penangguhan yang dibuat oleh pihak penganjur susulan bencana banjir yang melanda beberapa kawasan di Perak termasuk Kuala Kangsar sejak minggu lalu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak, Ahmad Shahrir Md. Naziri berkata, secara teknikal di sekiranya terdapat pelepasan air yang agak tinggi dari Empangan Chenderoh, ia mampu mempengaruhi aliran air di Sungai Perak.

“Kebiasaan aliran Sungai Perak di Kuala Kangsar akan menjadi sangat deras. Ini menjadikan menjadikan aktiviti-aktiviti air mungkin akan terjejas. Dengan pertimbangan itu, mungkin akan ada keputusan yang akan dibuat oleh penganjur,” katanya.

Penganjuran tahun ini dijangka menarik kehadiran dan penyertaan seramai 50,000 pengunjung dan merupakan acara tradisi daerah tersebut yang kali terakhir dianjurkan pada tahun 2009.

Program itu dianjurkan bersempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tahun serta meraikan ulang tahun yang ke-10 baginda bersemayam di atas takhta singgahsana kerajaan negeri Perak.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang memantau Stesen Janakuasa Chenderoh bakal menurunkan lagi paras air di semua empangan melalui mesin penjanaan dan sistem alur limpah.

Tujuan utama paras air diturunkan adalah untuk memastikan empangan yang dikendalikan oleh syarikat itu bersedia menerima jumlah taburan hujan yang lebih tinggi pada musim hujan penghujung tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya