MELAKA: Perjalanan hampir 33 tahun dilalui oleh Composites Technology Research Malaysia Sdn. Bhd. (CTRM) dalam industri aeroangkasa untuk membolehkan mereka berada pada kedudukan kelima pengeluar bahagian komposit terbesar bagi syarikat pesawat terkemuka dunia, Airbus bukanlah sesuatu yang mudah.
Sejak diasaskan pada 1990, kemampuan syarikat tempatan yang beroperasi di Batu Berendam di sini sentiasa diuji para pelanggannya, sama ada bahagian pesawat dikeluarkan mereka khususnya untuk pesawat Airbus A220, A320 dan A350 menepati piawaian ditetapkan.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif CTRM, Shamsuddin Mohamed Yusof berkata, pihaknya menyumbang kira-kira RM604 juta iaitu sebanyak 3.3 peratus daripada hasil industri aeroangkasa negara yang bernilai RM18.1 bilion pada 2023.
Jelasnya, kepercayaan diberikan Airbus dan Boeing secara tidak langsung berjaya membangunkan ekosistem pembekal tempatan contohnya dalam pembuatan bahagian logam serta kerja-kerja kejuruteraan seperti SME Aerospace Sdn. Bhd. (SMEA) dan UPECA Aerotech Sdn. Bhd.
“Apa pun kejayaan dikecapi CTRM hari ini, pujian harus diberikan kepada Kerajaan Malaysia yang berjaya mengenal pasti bidang aeroangkasa sebagai sektor strategik yang berpotensi besar untuk perindustrian negara.
“CTRM memulakan perjalanannya dalam industri aeroangkasa pada 1991. Apabila DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) mengambil alih syarikat ini pada 2013, transformasi bermula dan mengukuhkan kedudukan CTRM dalam pasaran global.
“Kita terkenal sebagai pusat kecemerlangan untuk bahagian sayap dan nacelle dan merupakan pengeluar tunggal di dunia untuk kebanyakan komponen tersebut untuk pesawat Airbus dan Boeing. Hari ini Malaysia merupakan salah satu rakan perniagaan utama Airbus di Asia, kebanyakan pesawat Airbus yang terbang merentasi dunia mempunyai bahagian yang dikeluarkan di Malaysia,” katanya ketika ditemui.
Pada 11 Jun 2024, CTRM dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Perdana Menteri dan Anugerah Kecemerlangan Sektor Pembuatan III pada Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2024.
AKI merupakan platform bagi mengiktiraf syarikat-syarikat Malaysia yang menunjukkan kecemerlangan daripada segi amalan pengurusan, kualiti produk dan perkhidmatan serta memberikan nilai tambah berterusan kepada pemegang taruh.
Mengulas mengenai kejayaan itu, Shamsuddin mengakui proses penilaiannya amat rumit yang menuntut CTRM membuktikan perjalanan transformasinya selama tujuh tahun bermula dari 2015.
Ujarnya, AKI secara tuntasnya mengangkat lebih lapan pengiktirafan diterima pihaknya sebelum ini khususnya daripada Airbus seperti Honorable Mention di bawah Airbus Supply Chain Quality Improvement Program (SQIP) pada 2015, dua kali mendapat Best Improver Award (2016 dan 2017), dan Best Performer Award pada 2018 dan seterusnya dinobatkan dengan Accredited Member pada 2019, iaitu anugerah tertinggi di dalam SQIP.
“Perjalanan dalam AKI bukan sesuatu yang mudah, kita memperuntukkan hampir 11 bulan untuk memenuhi segala kriteria yang dinyatakan. Kalau bercakap pasal mesyuarat, saya rasa sekurang-kurangnya 80 mesyuarat telah berlangsung hanya untuk AKI, seminggu ada tiga mesyuarat.
“Bagi kami, AKI ini menentukan di mana tahap CTRM berada, kali pertama masuk mewakili industri aeroangkasa seterusnya berjaya memenangi dua kategori. Kejayaan ini juga memberikan suntikan semangat kepada warga CTRM untuk terus mengorak langkah pada masa akan datang,” katanya.
Menyentuh berkaitan Malaysia Smart Manufacturing Awards 2023, Shamsuddin percaya semua entiti perniagaan perlu berani beradaptasi dengan pendigitalan termasuk teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengoptimumkan kos, kecekapan pengeluaran dan kualiti produk.
Katanya, CTRM sedang bergerak ke arah itu dan sebagai contoh kini jurutera atau juruteknik tidak perlu berkejar ke sesuatu mesin, sekiranya berlaku sebarang isu teknikal semasa pengoperasian.
“Kita kena bayangkan betapa besar kilang ini, hujung sini ke hujung sana lebih 1.1 kilometer (km). Juruteknik atau jurutera kena naik motosikal atau basikal untuk pemeriksaan rutin, itu agak leceh. Jadi kita kena lakukan operasi dalam cara yang ‘pintar’.
“Kami melakukan pelaburan yang besar dalam transformasi digital. Hari ini kita mahu segala informasi sampai kepada pekerja, bukan lagi mereka yang perlu pergi ke sesuatu peralatan untuk mendapatkan apa-apa perincian.
“Setakat ini apa yang saya boleh rumuskan, CTRM belum pergi ke arah itu secara sepenuhnya tetapi sedang dalam fasa digitalisasi hampir 40 peratus. Kekangan yang dihadapi pastinya adalah kos untuk menaik taraf peralatan. Mesin-mesin lama kebanyakannya tidak boleh dinaik taraf begitu sahaja, ia perlu diganti dengan yang lebih moden,” katanya.
Tambah Shamsuddin, fasiliti baharu CTRM iaitu Bangunan Enam (B6) kini mengguna pakai Building Management System (BMS) yang mampu mengenal pasti suhu persekitaran untuk disesuaikan dengan tahap keperluan penyaman udara.
“Fasiliti ini merupakan bangunan industri pertama di Malaysia yang memperoleh GreenRE Certificate. Ia merupakan salah satu daripada lima projek yang dipertaruhkan untuk Malaysia Smart Manufacturing Awards 2023,” katanya. – UTUSAN