NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) meluluskan arahan penempatan sementara bagi membolehkan Izzuddin Izhar atau Cikgu Din untuk berada bersama-sama isterinya yang kini sedang bertarung kanser tahap empat.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, hasil pertemuan antara kedua belah pihak sebelum ini, Cikgu Din akan ditempatkan di sekolah berhampiran supaya dia dapat terus melaksanakan tugasan sebagai guru selain pada masa sama boleh bersama dengan isterinya.
“Pertamanya, kita rakamkan ucapan simpati kepada apa yang berlaku terhadap Cikgu Din dan urusan kebajikan dia kita uruskan dengan sebaik-baiknya.
“Insya-Allah, kita akan bagi ruang untuk dia bersama dengan isterinya melalui arahan penempatan sementara dan ini (arahan) bertujuan memastikan dia dapat bersama dengan isterinya dalam tempoh yang amat memerlukan ini,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkembangan permohonan Cikgu Din untuk mengajar di sekolah berdekatan dengan isterinya.
Terdahulu, Fadhlina hadir merasmikan Majlis Peluncuran Karnival Pendidikan Madani dan Program Kolej Vokasional Insani Masyarakat Madani di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bakap di sini, hari ini.
Baru-baru ini, media melaporkan mengenai kisah seorang guru di Sarawak iaitu Cikgu Din yang terus mendapat perhatian ramai apabila dia diuji dengan masalah kesihatan isterinya yang disahkan menghidap kanser tahap empat. – UTUSAN