Ceroboh landasan LRT: Polis sudah ada video, gambar

Ceroboh landasan LRT: Polis sudah ada video, gambar

KETUA Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa menyaksikan penyerahan tongkat kuasa antara Bekas Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Ravindar Singh (kiri), kepada Ketua Polis Daerah Cheras yang baharu, ACP Aidil Bolhassan (kanan), pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Cheras, di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, di sini hari ini. UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mempunyai gambar serta video individu yang menceroboh landasan antara Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pasar Seni dan Stesen LRT KL Sentral malam kelmarin. 

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, tindakan tetap akan diambil kepada pelaku walaupun masih belum ada butiran lanjut. 

“Kita usaha untuk mendapatkan individu tersebut dan akan keluarkan video kepada orang ramai dalam masa terdekat. 

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta dedahkan siapa individu tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis serah terima tugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, hari ini. 

Menurutnya, Prasarana juga banyak membantu dalam menyalurkan maklumat kepada polis.

“Jajaran landasan kereta api itu juga luas dan (pasukan keselamatan) tidak dapat berada di semua tempat dalam satu masa. 

“Ini merupakan kes terpencil, namun kita tetap mengambil berat kes tersebut kerana bukan sahaja membahayakan nyawa pelaku, bahkan mengganggu perjalanan pengguna lain,” katanya. 

Terdahulu, tindakan seorang individu menceroboh masuk kawasan landasan antara Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pasar Seni dan Stesen LRT KL Sentral  malam kelmarin menyebabkan berlaku gangguan operasi. 

Rapid Rail Sdn. Bhd. (Rapid Rail) berkata, kakitangan Pusat Kawalan Operasi mengesan suspek menceroboh kawasan landasan melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di platform.

Jelasnya, atas faktor keselamatan serta mengikut piawaian operasi standard (SOP), bekalan kuasa terpaksa dimatikan bagi membolehkan Polis Bantuan serta petugas stesen masuk ke kawasan landasan untuk mencari suspek. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya