ALOR SETAR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Perniagaan Peladang MADA Sdn. Bhd. (MADACorp), Abdullah Ismail memohon maaf kerana tidak menyambut salam Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, Isnin lalu.
Menurut Abdullah, dia telah bersalaman dengan Mohamad sebaik sahaja menteri itu keluar dari kereta untuk menghadiri program Sentuhan Madani di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tajar, di sini.
“Kemudian saya mengiringi menteri bersalaman dengan pegawai-pegawai yang lain. Ketika mengiringi menteri bersalaman dengan pegawai lain, beliau telah menghulurkan tangan sekali lagi untuk bersalaman dengan saya.
“Oleh kerana saya telah bersalaman dengan beliau sebelum itu, saya jadi terkedu dan saya terkhilaf kerana tidak bersalaman sekali lagi dengan beliau,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Justeru, beliau dengan rasa rendah diri mengakui kesilapan tidak menyambut sekali lagi salam menteri terbabit.
“Saya ingin memohon maaf atas salah faham yang telah berlaku. Saya harap penjelasan dan permohonan maaf saya diterima oleh semua pihak yang terasa dengan perbuatan saya,” ujarnya.
Terdahulu, tular video memaparkan Abdullah tidak bersalaman dengan Mohamad Sabu ketika beliau membuat lawatan kerja di negeri ini pada Isnin lalu.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Firdaus Shater berkata, pihaknya kesal dengan penularan video memaparkan tindakan kurang cermat dilakukan CEO MADACorp.
“Insiden tidak bersalaman dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memperlihatkan satu tindakan yang tidak profesional.
“Ia juga tidak selari dengan etika profesionalisme yang mengutamakan sikap hormat menghormati, kerjasama dan komunikasi yang beradab, malah ia juga bertentangan dengan nilai-nilai Islam yang menuntut penghormatan dan adab terhadap pemimpin serta sesama insan,” katanya.
Kata beliau, pihaknya akan menyiasat insiden itu bagi mendapatkan cerita sebenar daripada beberapa pegawai di lokasi serta daripada CEO MADACorp sendiri.
“Sebarang bentuk tindakan yang memperlekehkan atau tidak menghormati pemimpin, apatah lagi secara terbuka adalah perbuatan yang tidak sesuai dengan ajaran Islam yang menganjurkan sikap hormat dan adab.
“Islam menekankan peri pentingnya menjaga lisan, beradab dalam pergaulan dan memelihara hubungan baik sesama manusia, terutama sekali terhadap mereka yang diberi amanah untuk memimpin,” ujarnya.
Jelasnya, Amanah negeri berpandangan bahawa sekiranya terdapat sebarang perbezaan ideologi politik seharusnya tidak menjadi penghalang untuk saling menghormati antara satu sama lain terutama dalam kalangan Melayu Islam.
“Kita berharap agar insiden sebegini tidak berulang lagi pada masa hadapan, selain menyeru seluruh rakyat untuk menghentikan serangan siber buli terhadap CEO MADACorp,” tambahnya. – UTUSAN