CEO GISBH, isteri failkan habeas corpus

CEO GISBH, isteri failkan habeas corpus

ROSLI Kamaruddin menunjukkan notis permohonan habeas corpus berkaitan kes melibatkan pimpinan tertinggi GISBH di Mahkamah Tinggi, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ketua Pegawai Eksekutif Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd. Ali, 65, memfailkan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.

Turut membuat permohonan serupa, isterinya, Azura Md. Yusof, 57, dan seorang lagi ahli GISBH, Mohamad Suhaimi Mohd. Sani, 28, yang merupakan Pengerusi Kafe Ikhwan di Kluang.

Permohonan itu bagi mencabar penahanan mereka di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA 2012) yang dikemukan peguam mereka, Datuk Rosli Kamaruddin, Najib Zakaria, Boestamam Ahmad, Dorina Abdullah dan Muhammad Zahir Rosli di hadapan Hakim, Datuk Abu Bakar Katar.

Nasiruddin dan Azura menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Kerajaan Malaysia; Pendakwa Raya dan Pengarah Penjara Negeri Selangor dan Kuala Lumpur sebagai responden pertama hingga kelima.

Mohamad Suhaimi pula menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketiga.

Mahkamah menetapkan 4 Disember depan untuk pendengaran kes.

Rosli mempertikaikan penahanan dan dakwaan bahawa mereka terlibat dalam kegiatan jenayah terancang.

“Kita failkan permohonan ini di sini kerana siasatan juga melibatkan kes dan premis perniagaan yang berada di Johor Bahru. Permohonan sama juga akan dibuat di negeri lain seperti Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya kepada media di pekarangan mahkamah.

Kesemua responden diwakili peguam Persekutuan, Mohamad Firdaus Sadina Ali.

Yang turut hadir dalam prosiding itu peguam pemerhati daripada Majlis Peguam Malaysia, R. Jayabalan, Fadhil Ihsan Mohamad Hassan dan Khairul Azwad Sariman.

Pada 23 Oktober lalu, Nasiruddin dan 21 pengikutnya didakwa di bawah Akta 130V (1) di Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak 2020, manakala Mohamad Suhaimi akan didakwa di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 di Mahkamah Kota Tinggi, petang ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN