UPRISING yang menjadi filem pembuka Festival Filem Antarabangsa Busan menyuguhkan alur cerita berbeza yang diambil daripada periode perang Imjin pada abad ke-16. Ketika itu Jepun yang diketuai Hideyoshi bertekad menakluk Korea menyebabkan perang berlarutan sehingga tujuh tahun lamanya.
Pengarah, Kim Sang-man tidak meletakkan penderitaan rakyat Korea akibat pembantaian Jepun sebagai mesej utama filem ini. Anda boleh melihatnya sepanjang dua jam cerita ini berjalan. Namun saya terpancing dengan naskhah ini yang cuba mempersoalkan kewibawaan pemimpin ketika itu dalam usaha menyelamatkan Dinasti Joseon.
Filem ini dibuka dengan kata-kata berhantu seorang cendekiawan zaman itu Jeong Yeo-rip yang membawa pemahaman radikal bahawa manusia adalah sama, bangsawan atau hamba bebas untuk makan dan berlatih ilmu bela diri bersama-sama.
Kerana prinsip itu, Jeong dituduh menderhaka, cuba melawan sistem di bawah pemerintahan raja Seonjo. Mungkin hanya dari sepotong kata-kata ini jugalah memberikan idea kepada Kim untuk menghasilkan fiksyen Uprising yang disokong fakta daripada keadaan sebenar.
Golongan atasan termasuk menteri, cendekiawan yang dikenali sebagai Yangban adalah kasta tertinggi dalam masyarakat ketika itu. Bukan semua boleh berada dalam golongan ini, hanya lima peratus sahaja diikuti nobi dan hur. Manakala 60 peratus daripada populari ini adalah hamba.
Hamba lebih rendah daripada anjing
Kim menceritakan situasi ini menerusi dua karakter yang dihidupkan iaitu Cheon-yeong seorang budak yang menjadi hamba kerana ibunya tidak mampu membayar hutang. Dipaksa mengabdikan diri di rumah anak bangsawan,Jong-ryeo. Kerana mereka membesar dan belajar pedang bersama maka mereka menjadi sangat akrab.
Kebaikan Jung-ryeo melayani hamba sebagai kawan adalah sebuah kesalahan dan ditenang oleh isterinya sendiri. Bagi isterinya, dia lebih rela membela anjing dan binatang berbanding berbaik dengan hamba. Dia lebih rela terjun ke dalam api daripada diselamatkan oleh tangan seorang hamba.
Cheon-yeong sudah tentu terluka dengan kata-kata itu. Namun yang lebih menambah cuka apabila bapanya Jong-ryeo mengkhianatinya enggan membebaskan lelaki itu daripada menjadi hamba. Disitulah bermulanya sengketa dan persahabatan yang semakin rapuh antara mereka berdua.
Sepanjang tujuh tahun perang, raja Seonjo yang bangsat itu melarikan diri takut dibunuh Jepun. Dia bahkan meninggalkan rakyatnya yang kelaparan dan terpaksa makan daging mayat di jalan. Ketika kembali selepas perang tamat, dia memaksa rakyat membina kembali istana yang terbakar dengan perintah ‘istana besar mewah dengan 6,000 bilik’.
Ja Ryeong yang juga cendekiawan Confusion menghadap ke istana, menyatakan kepada raja bahawa apa yang dilakukan ini bertentangan dengan pemahaman mereka selama ini. Hasilnya, dia juga mati.
Walaupun momen persahabatan antara Cheon-yeong dan Jong-ryeo sangat hambar dalam naskhah ini, namun dari sudut aksi, ia tampil memuaskan terutama pada pertarungan akhir. Namun sayangnya, raja bodoh tetap saja panjang umur.