GEORGE TOWN : Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan negeri serta pihak yang berkaitan untuk mengkaji semula piawaian pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya di negeri ini.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, hal ini demikian kerana, hasil tinjauan CAP mendapati, banyak jalan masih berlubang selain permukaan jalan yang tidak rata sehingga boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya.
“Kami mendapati, antara jalan utama yang rosak adalah di Jalan Thean Teik, Jalan Paya Terubong, Jalan Jelutong, Jalan Perak, Jalan Bukit Gambir, dan beberapa jalan lain di kawasan perumahan (khususnya di bahagian pulau).
“Dengan peningkatan kenderaan bermotor yang banyak terutamanya kereta persendirian di jalan raya Pulau Pinang dalam tempoh sepuluh tahun ini, maka, adalah amat penting bagi jalan raya ini untuk diselenggara dengan baik.
“Dalam hal ini, kerajaan negeri perlu mencontohi negara jiran kita iaitu Singapura dalam memastikan jalan raya mereka sentiasa berada dalam keadaan yang terbaik,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Mohideen, kontraktor yang ditugaskan untuk membina, menyelenggara dan mengekalkan keadaan jalan perlu bertanggungjawab terhadap sebarang jalan yang teruk sehingga mengakibatkan jalan tersebut berlubang dan permukaannya menjadi tidak rata.
“Berulangnya kejadian jalan berlubang dan permukaan yang tidak rata menunjukkan bahawa kerja yang dijalankan adalah itu adalah amat teruk. Sepatutnya, ia (kerja tersebut) perlu dijadikan prosedur operasi standard (SOP) mereka untuk menjalankan pemeriksaan secara mingguan di semua jalan raya,” katanya.
Tambah Mohideen, jalan yang rosak adalah berbahaya kepada pengguna jalan raya terutamanya jika Pulau Pinang menjangkakan kemasukan pelancong yang lebih besar semasa musim cuti atau perayaan.
“Justeru, langkah-langkah pembaikan segera perlu diambil untuk memastikan jalan raya kita tidak mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya itu sendiri.
“Pada masa yang sama, permukaan jalan yang tidak rata dan berlubang itu boleh menyebabkan berlakunya kerosakan pada penggantungan dan penyerap hentak kenderaan,” kata beliau.-UTUSAN