CAP dakwa lebih 20 sampel produk di pasaran ada plumbum

CAP dakwa lebih 20 sampel produk di pasaran ada plumbum

MOHIDEEN Abd Kader (kanan) dalam sidang akhbar mengenai plumbum di Pejabat CAP, di Jalan Masjid Negeri, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa terdapat lebih 20 daripada sampel produk mainan, aksesori peribadi, kosmetik dan rempah ratus yang berada di pasaran ketika ini didapati mengandungi plumbum yang membahayakan kesihatan.

Presidennya, Mohideen Abd Kader berkata, terdahulu, pihaknya telah menghantar 40 sampel pelbagai produk dan rempah ke makmal bebas untuk menguji jumlah plumbum yang ada sempena pengiktirafan tarikh 20 hingga 26 Oktober setiap tahun sebagai Minggu Pencegahan Keracunan Plumbum Antarabangsa (ILPPW) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Beliau berkata, ILPPW diadakan bertujuan meningkatkan kesedaran dan menggalakkan tindakan untuk menangani kesan kesihatan akibat pendedahan terhadap bahan itu terutamanya kepada kanak-kanak, wanita hamil dan pekerja.

“Daripada 40 sampel yang diuji itu, 20 daripadanya didapati mengandungi plumbum. Malah, satu sampel kosmetik untuk mata didapati mengandungi plumbum hampir 1,000 kali ganda melebihi paras yang dibenarkan,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohideen berkata, bagi produk rempah pula, sembilan daripada 25 sampel didapati mengandungi plumbum melebihi paras yang dibenarkan dan terdapat satu sampel serbuk cili didapati mengandungi lebih daripada lapan kali ganda paras plumbum yang dibenarkan.

Selain itu, Mohideen berkata, empat daripada lapan sampel produk kosmetik yang diuji didapati mengandungi plumbum melebihi paras yang dibenarkan.

“Daripada jumlah itu, dua sampel kosmetik untuk mata didapati mengandungi paras plumbum yang sangat tinggi.
Satu sampel mempunyai 196,996 bps dan satu lagi 125,688 bps plumbum. Garis Panduan bagi Kawalan Produk Kosmetik di Malaysia hanya membenarkan 20 bps plumbum hadir dalam produk kosmetik,” katanya.

Jelas beliau, kesemua enam sampel aksesori (gelang dan pin rambut) yang diuji didapati mengandungi plumbum.

“Satu sampel gelang didapati mengandungi lebih daripada 300 bps plumbum, manakala satu sampel kereta mainan juga didapati mengandungi plumbum,” kata Mohideen yang menjelaskan, plumbum adalah toksik terkumpul yang menjejaskan pelbagai sistem tubuh.

Tambah Mohideen, selain berbahaya kepada kanak-kanak kecil dan wanita hamil, plumbum juga berbahaya kepada semua yang terdedah kepada bahan berkenaan.

“Oleh kerana plumbum ini amat berbahaya, kami menggesa pihak berkuasa untuk menguatkuasakan peraturan undang-undang plumbum sedia ada dengan tegas dan pada masa yang sama mengisytiharkan undang-undang untuk menghapuskan plumbum dalam cat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya