SUNGAI PETANI: Malaysia berdepan cabaran untuk memenuhi keperluan tenaga boleh baharu (TBB) susulan permintaan yang semakin meningkat daripada pelabur asing terutama untuk mewujudkan pusat-pusat data di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, buat masa ini permintaan TBB di Johor sahaja menjangkau kira-kira 8,000 megawatt.
“Begitu juga (permintaan) bekalan air untuk menyejukkan pusat data (yang semakin meningkat). Kalau kita tidak bersedia maka pelabur ini tidak akan datang.
“Sebab itu kita kena cari jalan bagaimana kita nak pastikan kita dapat membekalkan tenaga yang diperlukan oleh pelabur-pelabur,” katanya ketika berucap pada Majlis Jamuan Jalinan Perpaduan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sidam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Siam dan ketua-ketua agensi, malam tadi.
Menurut Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), keadaan itu memerlukan rakyat khususnya golongan pekerja meningkatkan ilmu dan kemahiran mereka yang diperlukan untuk memenuhi keperluan pelabur.
Justeru, bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja tempatan yang sesuai dengan keperluan semasa.
“Inilah yang dilaksanakan di bawah kepimpinan Perdana Menteri. Sebab itu TVET diberi tumpuan untuk kita latih, sekarang ini di bawah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk memberi tumpuan bagaimana kita nak pastikan TVET ini disebarluaskan,” katanya.
Bagaimanapun, Fadillah mengingatkan bahawa tanggungjawab memastikan rakyat dilengkapi dengan ilmu kemahiran baharu perlu digalas semua pihak agar ia dapat direalisasikan. – UTUSAN