Busuk, jijik janji dapat duit

Busuk, jijik janji dapat duit

Duit
TIMBALAN Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Jafri Embol Taha (tengah) menemubual wanita warga asing yang ditahan dalam serbuan dekat lot-lot kedai Jalan Kem, Pelabuhan Klang di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: “Saya ‘butuh’ (perlukan) duit tuan.”

Demikian alasan diberikan salah seorang wanita warga Indonesia yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu operasi serbuan dekat lot kedai usang dan terbiar di Jalan Kem, Pelabuhan Klang di sini, hari ini.

Menurut wanita yang dikenali sebagai Angelica itu, dia sanggup menawarkan perkhidmatan persundalan tersebut walaupun sudah mempunyai dua orang anak berusia lapan dan 12 tahun kerana menanggung hutang berjumlah kira-kira RM10,000 di kampung.

Dia yang berasal dari Palembang itu memberitahu, baru 10 hari tiba di sini dan melakukan kerja tersebut kerana memerlukan wang segera dan tiada pekerjaan lain dapat dilakukan ketika berada di kampung.

“Lumayan pendapatan boleh dapat lebih RM6,000 sebulan. Cuma perlu melayan sekitar tujuh hingga lapan orang sehari, kalau hujung minggu lagi banyak boleh sampai 15 orang. Bayaran pula sekitar RM60 atau RM70 seorang.

“Operasi dari pukul 9 pagi sampai 7 malam, pelanggan pula cuma orang Bangladesh…kira orang luarlah. Tak ada orang tempatan datang ke sini,” katanya ditemui bersama 38 wanita yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), hari ini.

Terdapat kira-kira 20 premis di bangunan tersebut yang pada asalnya terbiar namun diubah suai lebih setahun lalu untuk dijadikan ‘port’ pelacuran dengan menyasarkan pelanggan dalam kalangan pekerja asing.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, keadaan bilik dijadikan tempat ‘melempiaskan’ nafsu itu begitu kotor dan jijik dengan keadaan lantai yang berair, cadar tilam ‘berdaki’ serta dinding penuh dengan kesan kotoran berwarna gelap.

Suasana dalam setiap premis dengan lima hingga tujuh bilik itu juga gelap, berbau busuk serta tidak terurus dengan terdapat kain buruk dibiarkan terlalu lama sehingga menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan pegawai dan anggota penguatkuasa yang membuat serbuan.

Malah, ada sebahagian premis itu mempunyai lorong rahsia yang menghubungkan dengan premis lain. Lebih teruk, dalam lot kedai itu terdapat katil diletakkan dekat laluan antara bilik ke bilik yang turut menghubungkan antara satu premis ke premis lain.

Duit
ANTARA wanita bersama lelaki warga asing yang ditahan JIM dalam serbuan dekat lot-lot kedai Jalan Kem, Pelabuhan Klang di Klang, Selangor, hari ini. – UTUSAN / SADDAM YUSOFF

Bagaimanapun, seorang lagi wanita dikenali sebagai Sukoprihatin, 37, dari Jawa Tengah memberitahu keadaan itu ‘ok’ bagi mereka dengan kadar sewa sekitar RM600 sebulan.

“Bole dapat sehari sampai RM300 cuma melayan mereka. Kalau fikir penat, memang memenatkan, tetapi waktu malam kami semua rehat, kerja itu cuma waktu siang. Kalau dulu kerja di kedai makan dekat Johor cuma dapat RM70 hingga RM80 sehari.

“Tetapi, saya cuma layan pelanggan di sini sahaja, tak keluar ke tempat lain, risau keselamatan kalau diapa-apakan susah sebab saya masih ada anak tiga orang dekat kampung berusia enam, 17 dan 19 tahun,” ujarnya.

Terdahulu, seramai 58 warga asing ditahan terdiri daripada 20 lelaki ‘hidung belang’ serta 38 wanita dari pelbagai negara seperti Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan dan seorang lagi tidak dikenal pasti warganegaranya.

Mereka semua ditahan dan dibawa ke Ibu pejabat JIM Putrajaya untuk saringan, manakala yang didapati melanggar Akta Imigresen 1959/63 dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen di Pekan Nenas, Johor untuk tindakan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya