KOTA BHARU: Seorang buruh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol kekasihnya yang merupakan remaja bawah umur bulan lalu.
Mohamad Nor Akmal Amaran, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun 8 bulan ketika kejadian.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Dabong, Kuala Krai dekat sini kira-kira pukul 2 pagi pada 22 September lalu.
Mohamad Nor Akmal didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri tidak mencadangkan jaminan kerana tertuduh melakukan kesalahan serius dan melibatkan mangsa yang merupakan pelajar bawah umur.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan 29 Oktober ini untuk serahan fakta kes dan prosiding jatuh hukum.- UTUSAN