Enam lelaki bunuh tukang cuci kereta dibebaskan

Bunuh tukang cuci kereta: Enam lelaki lepas bebas

Lepas bebas
MAHKAMAH Tinggi membebaskan enam lelaki daripada pertuduhan bunuh seorang pekerja kedai cuci kereta pada enam tahun lalu, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / NURUL NAJWA HASRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Enam lelaki termasuk dua beradik terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membebas dan melepaskan mereka daripada pertuduhan membunuh seorang tukang cuci kereta pada enam tahun lalu.

Keputusan itu diputuskan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Dr. Hazlina Hussain terhadap D. Pavidthren, Mohamad Shahrul Nizam Abdullah, J. Arivindren, M. Viknesh, J. Poovarashan dan K. Arvindran selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Beliau dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan punca kematian mangsa adalah disebabkan oleh kecederaan yang diakibatkan oleh tindakan pukul oleh kesemua tertuduh selain mengemukakan saksi-saksi penting sepanjang perbicaraan.

“Berdasarkan kepada naratif kes ini, pihak pendakwaan bergantung sepenuhnya kepada keterangan keadaan, oleh itu pihak pihak pendakwaan memikul beban yang berat untuk mensabitkan kesemua OKT (tertuduh) yang pertuduhan dibuat ke atas mereka.

“Pihak pendakwaan bergantung sepenuhnya pada keterangan SP10 (Saksi pendakwaan ke-10, pemilik kedai cuci kereta)  dan keterangan mengikut keadaan yang boleh mengaitkan OKT-OKT yang berada di dalam satu kumpulan individu, lebih kurang 30 orang sebelum kejadian berlaku.

“SP10 tidak pasti siapa yang menyebabkan keterangan kepada mangsa. Beliau tidak melihat siapa yang telah memotong tangan mangsa. SP10 berdiri dan menghadap gerai burger dan tidak tahu apa yang berlaku semasa kumpulan berkenaan mengejar mangsa.

“SP10 mengesahkan tertuduh keempat (OKT4) tidak ada kena mengena dengan kematian mangsa kerana OKT4 berdiri di tepi jalan. SP10 hanya lihat pertelingkahan antara mangsa dengan OKT sebelum kejadian. SP10 hanya melihat OKT6 melibas parang ke atas sebuah motosikal. OKT6 telah beredar dari tempat cuci kereta setelah ditegur oleh SP10,” katanya.

Malah, pesuruhjaya kehakiman turut menjelaskan, Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan (ASP) Supari Muhammad sebagai antara saksi penting yang tidak dipanggil menyebabkan berlaku kelompongan pada pendakwaan.

“Seterusnya kegagalan memanggil saksi-saksi penting. Berdasarkan kepada naratif kes ini, terdapat beberapa individu yang mahkamah percaya merupakan saksi-saksi penting dalam kes ini.

“Antaranya pegawai penyiasat adalah saksi penting untuk menjelaskan naratif siasat kes pendakwaan dan ASP Supari adalah pegawai polis yang bertindak mengumpul bahan bukti yang ditemui di tempat kejadian. ASP Supari juga merujuk…spesimen ke Jabatan Kimia Malaysia untuk menganalisis perbandingan DNA.

“ASP Supari juga pegawai polis yang menghadiri bedah siasat si mati. Pada setiap masa, semua barang kes di bawah jagaan beliau. ASP Supari juga menyiasat dan mengenal pasti sebilangan identiti sekumpulan individu yang dilihat berada di kedai cuci kereta pada malam kejadian.

“Selain itu, dapatan mempunyai apa-apa bukti pada parang yang dirampas melalui siasatan yang dijalankan oleh ASP Supari. Kegagalan memanggil ASP Supari sebenarnya menimbulkan pelbagai keraguan dalam kes pendakwaan,” ujarnya.

Justeru, Hazlina memutuskan kesemua tertuduh dibebas dan dilepaskan daripada pertuduhan.

Sepanjang prosiding tersebut, seramai 11 orang saksi dipanggil sementara kesemua tertuduh masing-masing diwakili peguam, A. Vasudevan, K. Viknesvaran, Ahmad Ishrakh Saad, S. Narasimhan, S. Palani Ammal dan Siti Rohaya Mohd. Tajuddin.

Berdasarkan pertuduhan, kesemua OKT yang ketika itu berusia 17 hingga 22 tahun didakwa membunuh S.Ravindran, 22, dekat tepi jalan berdekatan sebuah perumahan di Petaling Jaya antara pukul 11 hingga 11.30 malam pada 6 Jun 2018.

Justeru, mereka dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta minimum 12 sebatan.

Bagaimanapun, empat, daripada mereka dituduh secara bersama dan dua lagi berasingan iaitu masing-masing pada Jun 2018, Mei 2019 dan April 2021. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya