PUTRAJAYA: Bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Persekutuan di sini sebentar tadi meminda hukuman mati yang dikenakan terhadapnya sebelum ini kepada hukuman penjara 40 tahun.
Hukuman penjara itu berkuasa kuasa 1 November 2006 iaitu tarikh tangkap Azilah.
Panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan bersidang bersama-sama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan sebulat suara memutuskan demikian selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat.
Terdahulu, panel terbabit turut dimaklumkan bahawa bapa mangsa, Dr. Shariibuu Setev turut menyokong permohonan semakan Azilah untuk diberikan hukuman pemenjaraan atas dasar kemanusiaan.
Sokongan itu turut dipanjangkan kepada seorang lagi bekas anggota Unit Tindakan Khas, Koperal Sirul Azhar Umar. Bagaimanapun difahamkan, Sirul tidak memfailkan sebarang permohonan semakan.
Azilah dan Sirul Azhar dituduh membunuh Altantuya, 28, di antara Lot 12843 dan Lot 16735, Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara pukul 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober 2006.
Mereka disabitkan dengan kesalahan itu dan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 April 2009 namun dilepaskan dan dibebaskan pada 23 Ogos 2013 oleh Mahkamah Rayuan di sini.
Namun pada 13 Januari 2015, hukuman mati itu dikembalikan selepas Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pihak pendakwaan.
Bekas Pengarah Eksekutif Malaysian Strategic Research Centre, Abdul Razak Abdullah Baginda yang sebelum ini dituduh bersubahat dengan mereka telah dilepaskan dan dibebaskan pada 31 Oktober 2008 tanpa dipanggil membela diri setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan ada kes prima terhadapnya. – UTUSAN