Buli anak Tam Spider: Dua kertas siasatan dipulang, minta sekolah siasat dalaman

Buli anak Tam Spider: Dua kertas siasatan dipulang, minta sekolah siasat dalaman

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis masih melengkapkan dua kertas siasatan berhubung kes buli didakwa berlaku di sebuah sekolah berasrama, di sini membabitkan anak kepada penyanyi kumpulan Spider, Tam dan pelakon, Khir Rahman.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, setakat ini, pihaknya menerima 12 laporan polis iaitu dengan  tiga kertas siasatan dibuka.

Menurut beliau, kesemua kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) namun dua daripadanya dikembalikan untuk dilengkapkan semula. 

“Satu lagi kertas siasatan sudah ada keputusan iaitu meminta siasatan dalaman dijalankan pihak sekolah.

“Namun apa-apa keputusan itu (siasatan dalaman), pada bila-bila masa boleh disemak semula jika ada perkembangan baharu.

“Manakala dua lagi kertas siasatan diserahkan semula dengan arahan untuk dilengkapkan lagi siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan polis menerima 12 laporan berhubung kes buli di sebuah sekolah berasrama, di sini, yang turut membabitkan anak kepada penyanyi kumpulan Spider, Tam dan pelakon, Khir.

Rusdi dilaporkan berkata, sebahagian laporan dibuat oleh pelajar yang menjadi mangsa buli dan sebahagiannya adalah daripada ibu bapa kepada mangsa lain.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kesemua mangsa terdiri daripada pelajar berusia antara 14 hingga 16 tahun dan pembuli terdiri daripada pelajar berusia 17 tahun.

Katanya, sebanyak tiga kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Kes buli terbabit didedahkan Tam atau nama sebenar Rustam Mustafah yang mendakwa anak lelakinya berusia 14 tahun menjadi mangsa buli.

Selain Tam beberapa ibu bapa lain termasuk Khir turut tampil mendedahkan perkara sama dan mendesak pihak sekolah mengambil tindakan terhadap enam pembuli.

Mengulas lanjut, Rusdi berkata, siasatan turut mendapati terdapat pembabitan seorang warden asrama dalam kes buli  dan polis sudah merakam keterangan individu terbabit.

Berdasarkan laporan, ada mangsa ini mengalami kecederaan di telinga, lebam di tangan dan kaki. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya