SHAH ALAM: Kemenangan Uyaina Arshad sebagai Pengacara TV Popular sempena Anugerah Bintang Popular ke-36 (ABP36) menjadi bukti program bual bicara dan ilmiah turut menjadi perhatian masyarakat.
Jelas Uyaina atau Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 32, kemenangannya telah mematahkan stereotaip kononnya pengacara program hiburan lebih mudah mendapat tempat di hati penonton.
“Sangat susah untuk kecapi anugerah ini tapi tidak mustahil. Kalau ada rakan yang mungkin rasa program informatif dan bual bicara sukar diterima. Anugerah ini adalah saksinya.
“Jangan patah semangat dan terus kekal kepada identiti. Namun begitu, saya tidak menolak ada menyimpan keinginan untuk mengacara program hiburan cuma sayangnya peluang itu lebih banyak saya dapat di Indonesia.
“Semoga selepas ini, lebih banyak peluang akan diberikan kepada saya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sesi sidang media ABP36, di Dewan MBSA, baru-baru ini.
Dalam kemenangan itu, pengacara Wanita Hari Ini itu juga berkongsi nasihat agar tidak menyindir atau bercakap buruk tentang individu lain.
“Saya bercakap tidak merujuk satu pihak sebaliknya harap perkara ini dipraktikkan di mana-mana bukan dalam pengacaraan sahaja.
“Tak perlu menyindir atau mengata buruk tentang orang lain. Berikan fokus lebih kepada perkembangan diri, kemahiran dan apa yang boleh sampaikan kepada orang,” ujarnya.
Pada malam gemilang ABP36, Uyaina menjulang trofi Pengacara TV Popular sekali gus menewaskan pemenang tahun lalu, Elly Mazlein, selain Raja Azura, Izzue Islam dan Anim Ezzati.
Kerjaya Uyaina, 31, dalam arena pengacaraan bermula dengan penyertaannya dalam program Pencarian Nona Manis 2015 anjuran TV3.
Dua tahun kemudian, isteri kepada pelakon Raja Syahiran itu mengendalikan program bual bicara Wanita Hari Ini (WHI) hingga sekarang. -UTUSAN