Budak 4 tahun disyaki didera ibu bapa sendiri sedang dirawat

Budak 4 tahun disyaki didera ibu bapa sendiri sedang dirawat – KPWKM

HANTARAN gambar yang di muat naik di aplikasi Instagram memaparkan seorang kanak-kanak didera baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang disyaki didera oleh ibu dan bapanya kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Selayang.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memaklumkan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor telah turun melakukan siasatan semalam dan dibawa ke hospital tersebut untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sedang menjalankan siasatan berkenaan kes ini.

“Selesai pemeriksaan oleh pihak hospital, JKM akan memberi perlindungan kepada kanak-kanak ini berdasarkan Seksyen 25 (2)(b), Akta Kanak-kanak 2001.

“KPWKM serius mengambil tindakan segera bagi kes-kes yang berlaku dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana kesalahan melibatkan hak dan kebajikan kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini tular di aplikasi Instagram berhubung hantaran yang dimuat naik seorang pemilik akaun dikenali sebagai iesya.toh yang memohon agar orang ramai membantu kanak-kanak berkenaan didakwa didera oleh ibu bapanya.

“Mohon orang ramai bantu anak kecil ini, jiran dah tak sanggup dengar anak dipukul hari-hari sampai lebam mata,” kata hantaran itu.

Kementerian juga akan terus komited meningkatkan kesedaran melalui kerjasama pelbagai pihak dalam usaha melindungi kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama.

Ini termasuk memastikan tindakan tegas di ambil kepada pesalah yang terlibat dengan penderaan dan salah laku kepada kanak-kanak.

“KPWKM juga ingin menasihatkan orang ramai yang mengetahui tentang kes penderaan supaya menghubungi pihak Polis atau Talian Kasih KPWKM di talian bebas tol 15999 atau pesanan WhatsApp di nombor 019-2615999.

“Orang ramai juga boleh terus ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) yang terdekat bagi mendapatkan bantuan segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN