GEORGE TOWN : Seorang ibu tunggal didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas dia mengaku bersalah membuat kenyataan palsu menerusi satu rancangan audio siar atau ‘podcast’ di laman TikTok, kira-kira tiga bulan lalu.
Majistret Siti Nurul Suhaila Baharain turut memerintahkan supaya tertuduh, Wan Ainsyatul Mime Wan Yuszaidi, 26, dipenjara sehingga sembilan bulan sekiranya dia gagal membayar denda tersebut. Difahamkan, tertuduh bagaimanapun membayar denda berkenaan.
Terdahulu, Wan Ainsyatul Mime yang mengenakan jubah serta berniqab berwarna hitam itu membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dibacakan terhadapnya di hadapan Siti Nurul Suhaila.
Mengikut pertuduhan, ibu kepada dua orang anak berusia empat tahun dan 11 bulan itu didakwa dengan sengaja membuat kenyataan palsu melalui siaran langsung rancangan ‘Heart 2 Heart’ di Tiktok menggunakan akaun BGTV dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepada orang awam.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 26 Julai lalu, kira-kira pukul 3.30 petang, di Pangsapuri Program Perumahan Rakyat (PPR), Ampang Jajar, Permatang Pauh, dekat sini.
Pendakwaan terhadapnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu dibuat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes yang diakui tertuduh, dia dengan sengaja memberikan kenyataan palsu di TikTok menerusi panggilan telefon dan laporan tersebut adalah tidak benar serta tidak pernah berlaku. Hasil semakan polis juga mendapati, kenyataan itu adalah palsu dan berniat hendak menyebabkan kegentaran awam.
Ketika prosiding, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Naqieya Zulkernain yang mewakili tertuduh memohon agar mahkamah mempertimbangkan denda yang minimum kepada tertuduh memandangkan tertuduh merupakan seorang ibu tunggal dan mempunyai pendapatan RM1,600 sebulan sahaja.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Asharaf Ali memohon agar mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal kepada tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam.
“Tertuduh telah menyalurkan kenyataan palsu dan masyarakat yang melihat ‘posting’ berkenaan memberi impak negatif. Kesalahan dilakukan tertuduh juga menyebabkan kegentaran kepada orang awam dan menyebabkan kesan serius sekiranya tindakan tertuduh menyebarkan maklumat palsu diteruskan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, seorang wanita berusia 26 tahun telah menghubungi pengendali ‘podcast’ di TikTok dan mendakwa dia berada di Pulau Pinang serta dipaksa menjadi pelacur sejak Februari lalu selepas bapanya berhutang dengan ceti haram.
Bagaimanapun, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad mengesahkan kisah tersebut adalah tidak benar selepas satu siasatan lanjut dijalankan oleh pihak polis.-UTUSAN