KOTA BHARU: Kemasukan Malaysia ke dalam BRICS mampu merancakan lagi pertumbuhan sektor getah apabila negara boleh menjual bahan mentah itu secara terus kepada Rusia.
Pengerusi Lembaga Amanah Majlis Getah Malaysia (MRC), Datuk Seri Mohamad Suparadi Md. Noor berkata, ia sekali gus membolehkan negara menerima bayaran terus dari Rusia mengikut kadar tukaran terkini mata wang negara berkenaan dengan ringgit Malaysia.
Katanya, sebelum ini Rusia perlu menjadikan China sebagai perantaan dalam urusan pembelian getah selepas Malaysia tidak dapat berbuat demikian dan perkara tersebut adalah halangan terbesar buat negara.
“Hari ini bila BRICS berlaku dan hasil lawatan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ke Rusia, kita sudah boleh menerima pembayaran secara terus.
“Ia menjadi perkara baharu selepas beberapa tahun sebelum ini kita (Malaysia) ‘dicengkam’ Amerika Syarikat dan Eropah dimana Malaysia tidak boleh bekerjasama dengan Rusia dan Asia Tengah kerana ada halangan,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Jalinan Mesra Antara Majlis Pimpinan Keadilan Negeri (MPN) Kelantan dengan pengamal media negeri ini malam tadi.
Mohamad Suparadi yang merupakan Pengerusi MPN Kelantan memberitahu, MRC akan mengadakan pertemuan dengan pemain industri getah untuk membawa lebih banyak pasaran ke Rusia dan Asia Tengah.
Katanya, perbincangan itu akan dilakukan pada Isnin setelah diluluskan oleh kepimpinan negara.
Mengulas lanjut, MRC dengan kerjasama Lembaga Getah Malaysia (LGM) sudah menjumpai teknologi baharu berkait sistem torehan dalam meningkatkan lagi pengeluaran getah.
Katanya, menerusi keadah itu sejumlah 420,000 hektar getah yang tidak ditoreh dan merupakan pokok-pokok getah lama dapat mengeluarkan semula hasil.
“Kita akan keluarkan lateks kerana harganya lebih baik berbanding getah keping,” ujarnya.
Utusan Online sebelum ini melaporkan, Malaysia diiktiraf sebagai satu daripada 13 negara yang secara rasmi ditambah ke dalam BRICS sebagai negara rakan kongsi, sebuah blok yang secara kolektif menyumbang kepada satu perlima perdagangan global.
Menurut kemas kini @BRICSInfo di aplikasi X, blok itu secara rasmi menambah 13 negara baharu ke dalam perikatan sebagai negara rakan kongsi, walaupun belum sebagai ahli penuh.
Selain Malaysia, 12 negara lain yang turut disertakan ialah Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam.
BRICS pada asalnya dianggotai oleh Brazil, Russia, India dan China telah ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama bagi ekonomi sedang membangun, dengan Afrika Selatan menyertai pada 2010, seterusnya berkembang merangkumi Iran, Mesir, Ethiopia, dan Emiriah Arab Bersatu. – UTUSAN