BESUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan
sebuah bot pelancong yang dipercayai beroperasi tanpa lesen pada operasi Op Iman di sini, semalan.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, bot berkenaan ditahan pada jarak 11 batu nautika timur laut dari muara Kuala Besut pada pukul 11 pagi semalam.
“Bot penumpang tersebut ditahan oleh peronda Maritim Negeri Terengganu dalam satu siri Op Iman yang dilaksanakan di sekitar perairan Pulau Perhentian.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati bot penumpang tanpa nombor pendaftaran itu dikendalikan seorang operator warga tempatan dan mengemukakan lesen yang tamat tempoh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya lagi, ketika ditahan bot terbabit sedang membawa lapan orang pelancong luar negara dari Pulau Perhentian menuju ke Pulau Rawa bagi menjalankan aktiviti pelancongan.
“Kesalahan yang dilakukan itu adalah serius kerana mengabaikan aspek keselamatan termasuk membabitkan penumpang bot terlibat,” ujarnya.
Mohd. Khairulanuar memberitahu, bot bersama operatornya telah ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu membawa penumpang tanpa lesen yang sah serta insurans tamat tempoh.
Dalam pada itu, beliau berkata, Maritim Malaysia turut menasihatkan pengusaha bot yang membawa penumpang atau pelancong di laut agar mematuhi undang-undang serta peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – UTUSAN