Bomba siap siaga hadapi fenomena air pasang besar

Bomba siap siaga hadapi fenomena air pasang besar

NOR Hisham Mohammad ketika Majlis Penyerahan Kenderaan Rasmi Proton kepada JBPM Sempena Penganjuran IFCAA. IFCEM dan MIREC 2024 di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengeluarkan arahan kepada anggotanya di seluruh negara bagi memantau kawasan rendah pantai susulan fenomena air pasang besar yang diramal mulai esok.

Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, arahan itu dikeluarkan susulan kemuncak air pasang besar terutama di negeri-negeri Pantai Barat.

Beliau berkata, pihaknya juga akan memantau rapat Sungai Klang di Lembah Klang khususnya kenaikan paras air yang boleh menyebabkan banjir kilat.

“Jadi kita harap tidak berlaku hujan lebat yang menyebabkan banjir berlaku,” katanya dalam sidang akhbar di Majlis Penyerahan Kenderaan Rasmi Proton kepada JBPM sempena IFCEM 2024 di sini, hari ini.

Katanya, arahan sama turut dikeluarkan kepada negeri yang sedia banjir seperti Kedah, Perak dan Perlis serta Selangor supaya tindak balas segera dapat dilakukan.

Susulan banjir kilat di Kuala Lumpur, Nor Hisham berkata, pihaknya sudah menerima amaran pertama daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sekitar 8.50 pagi tadi.

“Apabila terima arahan itu, kita telah gerakkan keseluruhan anggota di negeri-negeri Pantai Barat supaya berada dalam keadaan siaga untuk banjir.

“Dan apabila kita laksanakan operasi itu, kita dapati bahawa berlaku peningkatan air yang mendadak di tujuh lokasi di Kuala Lumpur.

“Kita juga telah menggerakkan pasukan sebelum menerima panggilan, tetapi ada juga lokasi-lokasi yang terlepas daripada kita punya radar terutama di kawasan Universiti Melaya (UM),” katanya.

Katanya, pihaknya telah menggerakkan 50 anggota dengan 10 jentera ke lokasi terjejas banjir di Kuala Lumpur selain empat jentera dan 14 anggota di Selangor serta dua jentera dan tujuh anggota di Pahang.

Jelasnya lagi, setakat pukul 2 petang tadi, pemantauan rapi telah dilakukan di lokasi terjejas namun, tiada pemindahan besar-besaran dilakukan kecuali beberapa insiden pokok tumbang.

“Saya rasa hari ini merupakan satu kejutan kepada kita berikutan hujan lebat mengejut, namun amaran awal oleh MetMalaysia membolehkan pasukan digerakkan lebih awal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya