JOHOR BAHRU: Boleh bercinta, tetapi fokus tetap pada pembelajaran.
Itu pasangan suami isteri masing-masing berusia 21 tahun iaitu Mohammad Syaaban Nasir dan Ainul Mardiah Ahmad Radzi penerima Anugerah Pengarah dan Anugerah Pelajar Cemerlang pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Johor, hari ini.
Menurut Mohammad Syaaban, dia mengenali Ainul Mardiah ketika mereka berusia 16 tahun, sebelum berpeluang melanjutkan pengajian dalam bidang sama di Kolej Komuniti Segamat.
Katanya, walaupun mereka berdua dilamun cinta sepanjang tempoh dua tahun pengajian, tetapi mereka membuat perjanjian untuk sama-sama fokus pada pembelajaran.
“Ya, memang kami ada bertemu sepanjang waktu belajar, bidang sama dan lokasi sama, tetapi sebenarnya kami tidak banyak ‘dating’ berdua, sebaliknya bertemu kerana urusan pembelajaran.
“Alhamdulillah, ia tidak ganggu fokus kami untuk tamatkan pengajian dengan baik,” katanya yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.84 bagi pengajian Sijil Kejuruteraan Elektrik.
Sementara itu, Ainul Mardiah yang mendapat CGPA 3.82 bagi kursus sama pula memberitahu, mereka berdua telah melangsungkan perkahwinan pada April lalu, tidak lama selepas kedua-duanya mendapat pekerjaan di syarikat sama.
“Nasihat saya kepada pasangan bercinta jangan terlalu menunjukkan perkara itu sebaliknya terus fokus kepada pembelajaran. Jika ada jodoh InshaAllah tidak ke mana.
“Kami kini bekerja di syarikat sama sebagai pasangan suami isteri. Jika ada peluang kami juga berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” kata anak pertama daripada tiga beradik.
Pasangan suami isteri itu merupakan antara 819 graduan dari 12 Kolej Komuniti seluruh Johor yang menerima skrol tamat pengajian dalam majlis konvokesyen di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), di sini hari ini. – UTUSAN