Bola sepak merupakan antara sukan yang lazim bagi minat dan hobi para lelaki. Bahkan, mereka sanggup berjaga malam demi menonton perlawanan pasukan kegemaran mereka dalam negara mahupun peringkat antarabangsa.
Pelik juga, apa yang istimewanya mengenai sukan padang itu bagi mereka sehingga sanggup korbankan masa tidur untuk menonton sesebuah perlawanan?
Bukan itu sahaja, sukan tersebut juga menjadi penyuntik semangat mereka untuk lebih aktif bermain dan beraksi dengan hebat seperti yang ditonton di kaca televisyen.
Seperti penyanyi, Amir Masdi, dia menyifatkan bola sepak merupakan rutin wajib mingguannya untuk bermain bersama rakan-rakannya.
Selain itu, Amir menyifatkan sukan tersebut dapat memberikannya kepuasan untuk bersosial secara sihat di samping melepaskan rasa penat lelah sebagai seorang penyanyi.
“Saya suka main bola sepak. Futsal dan bola sepak itu antara aktiviti mingguan saya bersama rakan-rakan sekiranya tidak ada sebarang ‘show’ atau tuntutan kerja,” katanya kepada Pancaindera.
Amir turut memberitahu dia juga suka bermain ‘game’ namun tidaklah sekerap bermain bola memandangkan dirinya terikat dengan jadual kerja yang padat.
“Selain bola, saya juga suka main game. Itu memang dari kecil sampai sekarang saya memang suka main perlawanan. Cuma sekarang saya sudah jarang main game atas tuntutan kerja,” jelasnya.
Menurut pemilik nama Amir Syazwan Masdi, 28, sukan bola sepak secara peribadinya dapat menjadikan tubuh badannya lebih sihat dan menguatkan stamina ketika bersukan mahupun dalam kerjaya seninya sendiri.
Amir juga pernah beberapa kali berkongsi fotonya aktif bermain bola bersama rakan-rakannya menerusi hantaran di media sosial sekaligus membuktikan kehandalannya dalam sukan itu.
“Bola sepak membuatkan badan saya jadi lebih peka dan aktif serta meningkatkan stamina dalam diri saya.
“Peluh itu perlu untuk saya kekalkan tenaga ketika bermain untuk bergerak secara selesa.
“Kecergasan itu sangat penting bagi saya. Bola sepak ini antara sukan yang membuatkan saya punya stamina dan tubuh badan lebih sihat,” katanya lagi.
Ditanya sama ada dirinya terlibat dalam mana-mana kelab bola sepak, penyanyi lagu Puas itu menyatakan dia ada menyertai pasukan bersama kawan sekolah dan Mak Jemah FC yang turut dianggotai beberapa selebriti.
“Saya ada kelab bola bersama kawan-kawan sekolah saya. Saya juga sebahagian daripada kelab bola sepak Mak Jemah tapi bukan secara rasmilah. Saya hanya bermain untuk suka-suka,” jelasnya.
Meskipun aktif bermain bola sepak, Amir mengakui pasukannya tidak pernah berpeluang memenangi mana-mana pertandingan yang disertainya.
Amir juga menyifatkan dia tidaklah terlalu serius bermain bola sehingga ingin menjadikannya sebagai kerjaya baharu dalam hidupnya.
“Saya bermain bola daripada sekolah rendah. Saya tak pernah menang main bola dalam mana-mana pertandingan. Betul, saya minat bermain bola tapi tidaklah mengejarnya sampai menjadi kerjaya,” katanya ringkas.
Bagaimanapun, Amir tidak menafikan sukar untuk seimbangkan kerjaya dan hobinya dalam satu masa memandangkan kedua-duanya menggunakan tenaga yang sangat banyak dan memenatkan.
“Bola dan menyanyi kedua-duanya memang memenatkan. Kalau bola ini penat dari segi fizikal. Menyanyi pula penat sebab tak cukup tidur. Saya akan pastikan saya cukup tidur setiap hari baru akan bermain bola,” ujarnya.