PETALING JAYA: Pelakon, Kilafairy menafikan pernah mengeluarkan kenyataan rela membujang kerana takut diceraikan.
Kilafairy atau Syakila Nisa binti Jahangir Khan, 32, terkejut apabila peti mesej Instagramnya dipenuhi pesanan yang mengajaknya berkahwin lantaran kenyataan diputar belit pihak tidak bertanggungjawab.
“Dapat banyak sangat mesej yang ajak kahwin dan kata jangan takut mendirikan rumah tangga.
“Rupanya ada orang tulis macam ini. Bila masa pula aku cakap benda ini?,” katanya menerusi sebuah hantaran di Instagram Story.
Dalam tangkap layar yang dikongsikan, pelakon Tumpang Lalu itu bengang apabila sebuah akaun Facebook tidak dikenali memanipulasi kenyataannya dengan menulis ‘Kilafairy ingin membujang sampai tua kerana takut diceraikan’.
Susulan itu, Kila berpesan kepada orang ramai agar tidak mudah mempercayai berita kurang sahih di platform media sosial.
“Tolong jangan percaya semua berita dalam talian. Saman nanti,” tegasnya. -UTUSAN