KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes saman Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ditangguhkan hingga 29 Oktober ini selepas bekas Perdana Menteri dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) semalam kerana jangkitan paru-paru.
Peguam Mior Nor Haidir Suhaimi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Dr. Mahathir akan bercuti sakit sehingga 25 Oktober ini.
“Anak guam dimasukkan ke IJN petang semalam kerana mengalami jangkitan saluran pernafasan bawah (LRTI). Kami memohon perbicaraan hari ini dan esok dilapangkan,” ujar beliau.
Sehubungan itu, Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong menetapkan perbicaraan disambung pada 29 dan 30 Oktober serta 5, 6 dan 9 Disember ini.
Pada prosiding akan datang, mahkamah akan mendengar keterangan Dr. Mahathir diikuti anaknya Datuk Seri Mukhriz dan diteruskan dengan keterangan Ahmad Zahid selaku defendan.
Bekas Perdana Menteri sepatutnya disoal balas lanjut oleh pasukan peguam yang mewakili Ahmad Zahid pada perbicaraan kes saman terhadap Timbalan Perdana Menteri berhubung ‘isu kutty’.
Presiden UMNO itu disaman kerana didakwa mengeluarkan kenyataan palsu yang mempersoal keturunan dan perjuangan politik beliau ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya, tujuh tahun lalu.
Dalam pernyataan tuntutannya, Dr. Mahathir selaku plaintif mendakwa Ahmad Zahid itu antara lain mempertikai asal usulnya yang dikatakan bukan berketurunan Melayu ekoran perkataan ‘kutty’ didakwa tertera pada kad pengenalan berwarna biru yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Dalam pernyataan tuntutannya, Dr. Mahathir selaku plaintif mendakwa Presiden UMNO itu antara lain mempertikai asal usulnya yang dikatakan bukan berketurunan Melayu ekoran perkataan ‘kutty’ didakwa tertera pada kad pengenalan berwarna biru yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Menurut plaintif, rakaman video mesyuarat tersebut yang berlangsung pada 30 Julai 2017 kemudian diterbitkan semula dalam akaun Youtube Astro AWANI dan telah mencatat 148,199 tontonan.
Pernyataan tuntutan tersebut antara lain menyatakan, Ahmad Zahid (defendan) seperti dalam rakaman video berdurasi hampir tiga minit itu turut memfitnah beliau dengan menyentuh perjuangan politiknya ketika dalam UMNO.
Plaintif menyatakan, defendan berniat jahat ketika mengeluarkan kenyataan fitnah sehingga mendedahkan beliau kepada kebencian masyarakat dan menyebabkan kedudukannya sebagai seorang negarawan dan tokoh politik berpengaruh, dipandang serong. – UTUSAN