Bicara kes Guan Eng panas, peguam bangkitkan ‘isu sensitif’

Bicara kes Guan Eng panas, peguam bangkitkan ‘isu sensitif’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang melibatkan Lim Guan Eng di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, panas seketika apabila pihak pembelaan membangkitkan isu `sensitif’ ketika menggambarkan hubungan baik dua ahli perniagaan dan kaitannya dengan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Peguam R.S.N Rayer yang mewakili bekas Ketua Menteri, menimbulkan persoalan hubungan rapat saksi penting pendakwaan, Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dengan G. Gnanaraja walhal mereka baru berkenalan.

Rayer merujuk kepada laporan analisis forensik mengandungi perbualan kedua-duanya di antara 21 Julai 2017 dan 18 Ogos 2017 yang antara lain berkisar mengenai peranan Gnanaraja sebagai ‘orang tengah’ kepada Najib yang ketika itu Perdana Menteri.

Ketika menyoal balas Zarul Ahmad, Rayer selanjutnya menyelitkan isu `sensitif’ sehingga menimbulkan kemarahan saksi tersebut kerana soalan yang dikemukakan itu tiada kena mengena dengan tuduhan dihadapi Guan Eng.

Meskipun suasana sedikit tegang, Rayer menegaskan soalan itu penting bagi menyakinkan saksi dan membuktikan Gnanaraja juga akrab dengan Najib. 

Pada peringkat itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bangun membantah dengan menyatakan soalan peguam tiada kaitan dengan pertuduhan, sebaliknya cuba menyerang peribadi Zarul Ahmad.

“Pertuduhan yang dihadapi adalah berkaitan kes rasuah.  Peguam cuba menyatakan saya menggunakan`trial by media’ kerana membangkitkan isu penerimaan 10 peratus oleh Guan Eng.  Saya membantah soalan peguam,” ujar Wan Shaharuddin.

Hakim Azura Alwi kemudian menghapuskan soalan yang dikemukakan oleh Rayer daripada nota prosiding atas alasan pertuduhan yang dihadapi oleh Guan Eng adalah di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Sudah tentu pihak pendakwaan perlu membuktikan wujud penerimaan wang. Mengapa peguam membandingkannya dengan isu lain?  Kita bukan lagi di peringkat siasatan.  Saya buang soalan ini,” ujar Azura.

Mahkamah selesai mendengar prosiding mencabar kredibiliti Zarul Ahmad dan meneruskan dengan keterangan beliau selaku saksi pendakwaan pada perbicaraan utama.

Guan Eng dibicarakan atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat CZBUCG milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek mega itu yang bernilai berbilion ringgit. 

Rayer kemudian menyambung soalan balas kepada Zarul Ahmad bahawa meskipun baru mengenali Gnanaraja, beliau percaya ahli perniagaan itu mempunyai hubungan rapat dengan Najib dan perkara tersebut dipersetujui oleh saksi berkenaan.

Saksi juga bersetuju bahawa dalam perbualannya dengan Gnanaraja, ahli perniagaan tersebut pernah berkata `sayang PM sampai mati’ dan berpeluang dilantik sebagai menteri Kabinet bagi menggambarkan hubungan akrab dengan Najib. 

Perbicaraan bersambung 14 dan 15 November ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya