Bertahan dalam kelaparan, kesejukan 12 jam terperangkap banjir - Utusan Malaysia

Bertahan dalam kelaparan, kesejukan 12 jam terperangkap banjir

ZALINAH Zabidi menunjukkan gambar keadaan rumah buluhnya yang rosak teruk dalam kejadian banjir di Kampung Chenein, Sungai Siput. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Penduduk Orang Asli di Kampung Chenein di sini terpaksa bertahan dalam keadaan lapar dan kesejukan hampir 12 jam selepas terperangkap dalam banjir, awal pagi semalam.

Seorang penduduk, Mohammad Shafarudin Ahin, 24, berkata, dia menyedari air mulai naik di pekarangan rumah sekitar pukul 3 pagi sebelum masuk ke dalam rumah kira-kira 10 minit kemudian.

Katanya, keadaan air banjir yang naik dengan cepat sehingga melepasi paras pinggang itu menyebabkan dia hanya sempat menyelamatkan dokumen penting sahaja.

“Saya sedar air mulai naik selepas mendengar jeritan jiran. Ketika itu saya segera kejutkan ahli keluarga lain dan ambil dokumen penting sebelum bergerak ke lokasi selamat

“Keadaan ketika itu gelap dan air banjir naik terlalu cepat sehinggakan ada rumah yang dinaiki air sehingga paras bumbung,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat pemindahan sementara (PPS) Pusat Sehenti Orang Asli (OAOSC) Bawong, di sini hari ini.

Menurut bapa kepada seorang anak berusia dua tahun itu, sepanjang menunggu bantuan, dia dan ahli keluarga lain seramai 12 orang serta penduduk kampung hanya duduk di atas jalan tar kira-kira 500 meter dari rumah.

Katanya, ketika itu, keadaan mereka kesejukan akibat pakaian yang basah selain kelaparan kerana tidak sempat menyelamatkan makanan.

“Sekitar pukul 10 pagi, saya kembali ke rumah dan tengok semua barang rosak selain lapan buah motosikal dan sebuah kereta. Saya sempat jerang air dan buat air teh untuk isi perut.

“Saya juga lega apabila dalam keadaan kelam kabut itu, saya sempat selamatkan tin susu anak, jadi tidaklah dia kelaparan sehinggalah bantuan makanan tiba kira-kira pukul 2 petang,” katanya.

Sementara itu, seorang mangsa, Zalinah Zabidi, 35, memberitahu, kejadian banjir itu menyebabkan rumah buluh yang didiaminya rosak teruk dan tidak boleh diduduki lagi

Katanya, kejadian banjir itu disifatkan sebagai paling teruk selepas insiden sama pada tahun 2014.

“Saya dan suami pimpin anak keluar rumah dalam keadaan arus deras dengan seorang anak dipikul di bahu suami.

“Masa itu tak tahu mahu gambarkan perasaan bagaimana kerana bukan saja bimbangkan rumah tapi paling penting adalah haiwan berbisa. Alhamdulillah, semuanya selamat,” katanya.

Hujan lebat dan berterusan selama hampir 12 jam sejak pukul 6.30 petang pada Sabtu lalu, mengakibatkan dua perkampungan Orang Asli di Sungai Siput terjejas selepas jalan menuju ke penempatan mereka ditenggelami air banjir.

Kampung yang terjejas ialah Kampung Chenein melibatkan 32 orang daripada sembilan keluarga manakala 140 orang daripada 26 keluarga di Kampung Jong. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya