KUALA LUMPUR: Selebriti terkenal, Awal Ashaari mengakui kini dirinya lebih selesa membawa identiti sebagai pengacara berbanding pelakon dalam industri seni hiburan tanah air.
Menurut Awal, bidang pengacaraan lebih sebati dengan jiwa seninya meskipun sudah pernah membintangi beberapa filem di awal kemuncak kerjayanya suatu ketika dahulu.
“Sebenarnya, saya ambil keputusan untuk fokus kepada bidang pengacaraan. Saya rasa lebih seronok melakukannya. Bila pegang mikrofon, saya rasa jadi diri sendiri.
“Kalau berlakon, saya rasa macam saya tidak berapa pandai berlakon. Rasa seperti satu paksaan dan tidak kena dengan jiwa saya.
“Sebelum ini, saya berlakon 17 filem, jadi bukanlah tidak minat langsung. Tetapi berlakon lebih menuntut banyak komitmen dan membuatkan saya tidak boleh jadi diri saya sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Meskipun sudah lama tidak muncul dalam mana-mana naskhah, Awal mengakui dia terbuka untuk menerima tawaran berlakon yang tidak makan masa yang terlalu lama untuk penggambaran atau sebagai ‘cameo’.
“Kali terakhir saya berlakon untuk drama tetapi itu pun bertahun yang lalu. Ada saja tawaran yang saya terima untuk berlakon. Tetapi, saya terpaksa tolak kerana komitmen terlalu panjang.
“Saya suka naskhah yang tidak makan masa yang lama atau mungkin saya akan jadi cameo. Watak-watak hero bagilah hero-hero Malaya lain yang buat. Kalau mengacara, saya akan terima dengan dada yang terbuka,” jelasnya.
Dalam pada itu, isteri kepada pelakon itu, Scha Alyahya turut mengakui suaminya kerap berasa tidak yakin untuk berlakon namun, dia juga tidak menyangkal kehebatan dan kehandalan Awal apabila menjadi pengacara.
Menurut Scha, sebagai pelakon mereka bukan sahaja perlu bersedia dari segi mental dan emosi untuk lakonan semata, malah perlu bersifat terbuka menerima sebarang maklum balas mengenai sesebuah naskhah yang dijayakan.
“Pada saya, dia bukan seorang pelakon sangat tapi bab mengacara dia sangat bagus dan ‘flawless’.
“Kalau berlakon, kita bukan sahaja kena sediakan mental dan emosi sahaja. Kita kena bersedia dengan peminat yang akan tanya macam-macam soalan yang buat kita tidak gembira,” katanya.