‘Berikan gaji setimpal ikut kelulusan akademik, pengalaman' - Steven Sim - Utusan Malaysia

‘Berikan gaji setimpal ikut kelulusan akademik, pengalaman’ – Steven Sim

STEVEN Sim Chee Keong (kiri) melakukan gimik perasmian Majlis Pecah Tanah Penubuhan Rehabilitasi Perkeso Wilayah Timur di Merang, Setiu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Kementerian Sumber Manusia menegaskan gaji minimum yang dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan bukan ketetapan gaji permulaan untuk pengambilan pekerja baharu dalam semua perjawatan.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, majikan tidak dihalang untuk menetapkan gaji minimum mengikut kelayakan akademik, pengalaman dan kemahiran pekerja.

Menurutnya, beliau akui terdapat majikan yang salah faham dengan menetapkan gaji minimum yang diumumkan kerajaan itu untuk pengambilan semua pekerja baharu termasuk lepasan siswazah.

Jelasnya, gaji minimum tersebut adalah gaji kepada pekerjaan dengan kelayakan akademik dan kemahiran rendah dan melakukan pekerjaan paling asas.

“Saya nak tekankan bahawa gaji minimum ini bukan gaji permulaan, jadi kita sarankan supaya berikan gaji minimum yang setimpal kepada pekerja mengikut kemahiran dan kelulusan akademik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pusat Rehabilitasi Perkeso Wilayah Timur di Merang di sini, hari ini.

Pembinaan Pusat Rehabilitasi Perkeso Wilayah Timur itu menelan belanja RM571.8 juta dan dijangka siap pada 2027.

Pusat rehabilitasi tersebut boleh memuatkan 315 katil dan menampung 400 hingga 500 pesakit setiap hari.

Steven Sim memberitahu, kementeriannya tidak lama lagi akan menerbitkan garis panduan gaji permulaan bagi semua sektor pekerjaan berdasarkan Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO).

Katanya, garis panduan ini kelak adalah rujukan kepada pekerja dan majikan dalam menentukan kadar gaji permulaan yang sesuai bagi sesuatu pekerjaan mengikut kelayakan akademik dan pengalaman.

“Garis panduan gaji baharu itu bertujuan mereformasi pasaran buruh dengan matlamat meningkatkan pendapatan pekerja,” ujarnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika pembentangan Belanjawan 2025, mengumumkan kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan, berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan turut memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan gaji minimum RM1,700 bagi majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja selama enam bulan, bermula pada 1 Ogos 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN