PETALING JAYA: “Beri saya ruang.”
Demikian respons pelakon, Diana Danielle kepada Utusan Malaysia ketika ditanya berhubung luahan rasa nekad untuk bercerai dengan suaminya yang juga aktor, Farid Kamil di Instagramnya.
Bagaimanapun, pelakon tersebut tidak menjawab sebarang soalan berhubung kenyataan tersebut.
Dalam hantaran di Instagramnya itu, Diana juga enggan mendedahkan punca dirinya nekad dengan keputusannya itu.
“Saya dah buat keputusan untuk berpisah secara rasmi dengan suami saya dan akan failkan perceraian.
“Tidak, saya tak akan jelaskannya. Mungkin dia akan lakukannya seperti biasa, dengan beri bunga, cincin dan janji kosong. Semoga mempunyai kehidupan yang baik. Dan, jangan pujuk,” katanya.
Dalam perkongsian sama, pelakon filem Imaginur itu seolah-olah menggesa Farid untuk melepaskannya dan menyifatkan soal rujuk tidak semestinya penyelesaian terbaik buat setiap pasangan yang ingin berpisah.
“Rujuk bukan untuk semua orang. Lepaskan saya. Terima kasih,” katanya di kapsyen.
Sementara itu, usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan kenyataan balas Farid belum berhasil.
Sebelum ini, Diana dan Farid telah sah bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 10 Ogos 2023.
Tidak lama kemudian, mereka telah kembali rujuk selepas sebulan bercerai.
Untuk rekod, Diana dan Farid telah berkahwin pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.-UTUSAN