Beri perhatian sama terhadap nasib mangsa banjir tidak berpindah ke PPS - Shahidan - Utusan Malaysia

Beri perhatian sama terhadap nasib mangsa banjir tidak berpindah ke PPS – Shahidan

SHAHIDAN Kassim (sembilan dari kanan) bergambar bersama para penerima sumbangan dalam satu majlis di Yayasan Pok Dan Kassim, Kangar, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan perlu memberi perhatian terhadap nasib mangsa-mangsa banjir yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) walaupun terkesan teruk dengan bencana berkenaan.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, terdapat mangsa-mangsa yang terkesan dengan fenomena banjir sekitar negeri ini dikenalpasti enggan untuk berpindah ke PPS disebabkan oleh kekangan tertentu.

Katanya, berikutan itu, kerajaan perlu menyediakan inisiatif bantuan seperti pemberian bakul makanan kepada mangsa-mangsa terlibat bagi mengurangkan bebanan mereka.

“Mangsa-mangsa ini mungkin enggan berpindah kerana risaukan keselamatan rumah, masalah logistik seperti pemindahan orang tua uzur dan sebagainya.

“Jadi nasib mangsa-mangsa ini juga perlu diberi perhatian dan bukannya hanya fokus kepada mereka yang ditempatkan di PPS sahaja,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir terdiri daripada komuniti Siam di Yayasan Pok Dan Kassim di sini hari ini.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan beberapa kawasan di negeri ini dilanda banjir ekoran hujan lebat sehingga mencecah 100 milimeter (mm) dalam tempoh beberapa jam.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata, mangsa-mangsa yang enggan berpindah ini tidak mengharapkan wang tunai namun pihak terlibat hanya memerlukan sumbangan makanan.

“Mereka ini sepatutnya layak berpindah tapi tidak berbuat demikian disebabkan kekangan tertentu dan sewajarnya nasib mereka ini diberi perhatian,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai penyerahan itu, Shahidan berkata, seramai 50 mangsa sekitar negeri ini yang terjejas menerima bantuan bakul makanan sumbangan Yayasan Pok Dan Kassim, Perpaduan Ummah Perlis dan Pejabat Ahli Parlimen Arau.

Katanya, penerima sumbangan itu terdiri daripada mangsa dari Kampung Alor Banat, Kampung Bakong, Kampung Behor Gelam, Kampung Padang Tengah, Utan Buloh dan Kampung Kubang Gajah.

“Kita mengharapkan sumbangan ini sedikit sebanyak mengurangkan bebanan mereka dan kita akan cuba membantu lagi mangsa lain secara berperingkat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya