PUTRAJAYA : Pelakon, Que Haidar tidak menolak, meskipun sudah hampir tiga empat bulan bercerai, dia dan bekas isterinya, Linda Jasmine masih berhubungan baik sebagai kawan.
Mengakui perceraian itu berlaku pada 2 Julai lalu, Que juga berkata, kedua-dua mereka telah menerima takdir ketentuan Allah meskipun sedar 15 tahun membina rumah tangga bersama bukan satu tempoh yang singkat.
“Allahu akbar, Alhamdulillah itu (penceraian) yang Allah aturkan. Saya minta semua doakan yang terbaik untuk saya dan Linda. Tapi kami masih baik, tiada siapa yang mahu bercerai.
“Mungkin jalan ini yang terbaik, kami masih berkawan demi anak-anak. Penceraian kami berlaku pada 2 Julai lalu,” katanya.
Que berkongsi perkara itu ketika ditemui di Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa (ASA2024) yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.
Dalam pada itu, aktor berkenaan turut enggan mendedahkan punca penceraian dia dan isteri kerana menyifatkan ia terlalu peribadi untuk dikongsi.
Tambah Que, dia bersyukur kerana anak-anaknya iaitu Ratu dan Cleopatra sudah matang untuk menerima penceraian ini.
“Hal rumah tangga merupakan hal peribadi. Perkara seperti ini (penceraian) bukanlah untuk dibanggakan. Lebih baik simpan sendiri, doakan yang terbaik,”
“Kami masih saling memberikan sokongan, apa yang terbaik untuk kami berdua dan anak-anak. Tidak ada benda yang perlu diuar-uarkan atau dikongsi.
“Hubungan kami masih sangat baik dan Alhamdulillah anak-anak juga terima semua ini dengan matang. Tiada perbalahan antara kami,” ujarnya.
Untuk rekod, Que dan Linda mendirikan rumah tangga pada 14 Februari 2009.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Tengku Ratu Haidar, 15, dan Tengku Cleopatra Haidar, 12 tahun.
Linda sebelum ini pernah berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata lelaki iaitu Qalif Khan yang kini berusia 24 tahun.