Bentuk muka bumi sukarkan operasi bawa keluar mangsa banjir - Utusan Malaysia

Bentuk muka bumi sukarkan operasi bawa keluar mangsa banjir

MANGSA banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Pandak Hamid di Bawong, Sungai Siput. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Cabaran bentuk muka bumi antara kesukaran yang dihadapi pasukan penyelamat untuk membawa keluar 33 penduduk Kampung Orang Asli Chenein yang terperangkap hampir 12 jam akibat banjir, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, kejadian banjir itu menyebabkan beberapa jalan terputus hubungan selain jaringan komunikasi mengalami gangguan.

“Pasukan penyelamat telah cuba masuk ke kawasan kampung tersebut untuk menyelamat mangsa yang terperangkap selepas tinjauan dilakukan pada pukul 12.30 tengah hari.

“Bagaimanapun, pasukan penyelamat tidak mahir dengan keadaan muka bumi di kawasan berkenaan disebabkan laluan ke kampung itu telah ditenggelami air.

“Mengambil kira faktor keselamatan, jaringan komunikasi yang terputus dan lokasi mangsa, pasukan penyelamat terpaksa keluar dari lokasi tersebut bagi mendapatkan bantuan logistik dan pandu arah daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa),” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pasukan penyelamat terdiri daripada polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan bomba bagaimanapun berjaya masuk ke Kampung Chenein sejam kemudian dengan menggunakan laluan air.

Katanya, kesemua mangsa kemudian berjaya ditemui dalam keadaan selamat di Dewan Kampung Chenein.

“Tinjauan turut dilakukan di kawasan sekitar bagi memastikan tiada mangsa lain terperangkap.

“Kesemua mangsa dibawa keluar sekitar pukul 3 petang menggunakan pacuan empat roda dan ambulans milik APM setelah paras air mulai turun dan laluan selamat dilalui,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Khaizam menegaskan, kelewatan proses menyelamat mangsa banjir di Kampung Chenein bukanlah disebabkan kecuaian sebaliknya kerana faktor keselamatan akibat arus deras yang membahayakan pasukan penyelamat.

Menerusi laporan media, penduduk Kampung Orang Asli Chenein di sini terpaksa mengharungi tempoh 12 jam dalam keadaan kelaparan dan kesejukan akibat terperangkap dalam banjir.

Kesemua mangsa daripada sembilan keluarga itu berlindung di tepi jalan berhampiran kawasan berbukit selepas kediaman masing-masing dinaiki air setinggi lebih satu meter. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya