KUALA LUMPUR: “Sejak kejadian lalu, sehingga kini tiada satu mesej atau panggilan mahupun Direct Message (DM) dari Aliff.”
Demikian kata penyanyi dan pelakon, Bella Astillah apabila ditanya mengenai hubungan bekas suaminya, Aliff Aziz dan anak-anaknya, Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4.
Menurut Bella, dia juga tidak ada sebarang masalah mengenai tindakan bekas suaminya itu sebaliknya lebih selesa dengan kehidupannya kini.
“Sebenarnya saya sudah tak mahu ulas pasal itu. Tapi saya tiada masalah dengan benda itu, saya tidak pertikaikan, saya tidak marah, saya rasa lebih baik begini.
“Tapi kita tak tahu tiga sehingga empat tahun lagi macam mana sebab saya rasa ini jalan yang terbaik. Sebab saya seorang yang berhati lembut, dan saya tidak bersedia untuk berbaik,” katanya.
Perkara itu telah dikongsikan oleh Bella ketika ditemui di majlis pelancaran video muzik lagu terbaharunya, Tapi Bukan Denganmu di Aurum Theatre, The Exchange, di sini, hari ini.
Mengakui bimbang sekiranya anak-anaknya mempunyai tanggapan buruk mengenai situasi yang berlaku, Bella turut meluahkan rasa syukur kerana anak-anaknya memberikan kerjasama yang sangat baik.
“Alhamdulillah anak-anak tidak mencari, saya lagi takut kalau mereka fikir yang bukan-bukan tapi sekarang mereka fokus belajar dan setakat ini okay. Boleh nampak di media sosial saya,” jelasnya.
Bella ketika diminta untuk mengulas mengenai luahan bekas ibu mertuanya yang rindu terhadap kedua-dua anaknya, turut menyatakan dia juga sudah tidak mengambil tahu perihal mereka demi membantu proses penyembuhan dirinya.
“Saya nak membantu diri saya untuk ‘heal’ jadi saya tidak ‘stalk’ dan saya tidak tahu apa-apa perkembangan mengenai dia atau keluarga dia. Saya hanya mendoakan yang terbaik buat dia dan keluarga dia.
“Saya tidak cakap yang pihak sana tiada usaha tapi sebenarnya saya bersetuju dengan tindakannya sekarang. Saya tidak marah dan saya rasa lebih baik kita menjalani kehidupan masing-masing,” katanya.
Meskipun tidak mudah untuk dirinya melupakan kisah lalunya bersama penyanyi Singapura itu, Bella tetap mendoakan yang terbaik untuk Aliff yang kini disifatkan sudah bahagia menjalani kehidupan sendiri.
“Nak ‘move on’ tak senang sebab hubungan kami selama 12 tahun itu tak mudah, tapi saya percaya lambat laun pasti saya boleh ‘move on’. Saya percaya dengan adanya anak-anak dan keluarga, saya percaya masa itu akan tiba juga,” ujarnya.
Untuk perkembangan terkini, Bella telah melancarkan lagu baharunya yang berjudul Tapi Bukan Denganmu lirik ciptaannya sendiri dan dicipta oleh komposer, Sharon Paul. – UTUSAN