Belanjawan: UEM Group sokong hasrat kerajaan pacu pertumbuhan JS-SEZ

Belanjawan: UEM Group sokong hasrat kerajaan pacu pertumbuhan JS-SEZ

AMRAN HAFIZ AFFIFUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UEM Group Berhad (UEM Group) menyokong keutamaan kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Malah, Pengarah Urusannya, Datuk Amran Hafiz Affifudin menyifatkan Belanjawan 2025 bernilai RM421 bilion sebagai langkah progresif ke arah mewujudkan masa hadapan lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan bagi pertumbuhan negara.

Katanya, taman perindustrian tenaga boleh baharu (TBB) di Gerbang Nusajaya yang sedang dibangunkan oleh UEM Sunrise Berhad dijangka memainkan peranan besar dalam meningkatkan ekosistem TBB dan merancakkan pertumbuhan JS-SEZ.

Jelas beliau, sebagai sayap infrastruktur Khazanah Nasional Berhad, UEM akan terus menyokong pelaksanaan belanjawan itu khususnya dalam menggerakkan agenda pembangunan infrastruktur dan pemerkasaan ekonomi.

“UEM Lestra Berhad sebagai sayap industri juga diamanahkan untuk mempercepatkan usaha nyahkarbon kawasan perindustrian.

“Taman perindustrian yang lebih hijau dijangka dapat menarik lebih banyak pelaburan asing, sekaligus memacu momentum Malaysia ke arah mencapai sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, UEM Group menyambut baik pengenalan Program Corporate Renewable Energy Scheme (CRESS), satu anjakan transformatif ke arah akses grid terbuka yang memupuk pembangunan pasaran tenaga yang lebih berdaya saing dan mampan.

“Kami turut mengalu-alukan pengumuman projek-projek utama di bawah Pelan Induk Kerjasama Awam Swasta 2030 (PIKAS 2030), termasuk Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua di Pulau Pinang.

“Fasa ketiga pelebaran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di bawah seliaan sayap lebuh raya kami, PLUS Malaysia Berhad juga merupakan inisiatif penting yang boleh menambah baik aliran trafik serta menampung jumlah kenderaan laluan utama ini yang kian bertambah,” katanya.

Tambah beliau, Belanjawan 2025 dilihat sebagai asas kukuh untuk mencipta ekonomi yang lebih mampan, dan UEM Group akan terus memainkan peranan penting dalam menjayakan inisiatif-inisiatif berkaitan bagi memberi impak positif kepada rakyat Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya